KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan enam individu termasuk seorang jurutera awam dan tiga pemilik syarikat disyaki memberi rasuah bagi memonopoli kesemua projek ditawarkan dua jabatan kerajaan di dua daerah sekitar negeri Sarawak.
Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia antara 40 hingga 70-an itu telah ditahan kira-kira pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari ini di beberapa lokasi sekitar Sarawak melalui satu operasi khas yang dijalankan.
“Siasatan awal mendapati perbuatan tersebut dilakukan pada tahun 2006 sehingga kini dan kontraktor yang terlibat membenarkan lesennya digunakan turut menerima komisen sehingga 10 peratus daripada nilai projek berkenaan.
“Pada masa yang sama, jurutera awam tersebut turut menerima upah kerana membantu mendapatkan projek-projek jabatan berkenaan,” katanya.
Dalam operasi tersebut, SPRM turut menyita sebuah kenderaan Proton X70, wang tunai berjumlah kira-kira RM450,000 dan barang kemas.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Tambah beliau, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Miri, Mahkamah Sibu dan Mahkamah Majistret Kuching, Sarawak esok untuk tujuan permohonan reman. – MalaysiaGazette