PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menolak kemungkinan dua lelaki yang menjadi suspek utama kes pembunuhan seorang pegawai kanan polis Thailand yang melarikan diri ke sempadan negara baru-baru ini, memasuki Malaysia.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menolak kemungkinan ini berdasarkan kawalan ketat di pintu masuk negara.
“Kita tidak syaki dia (dua suspek) masuk (Malaysia). Adakah mereka tidak berada di negara ini? Mungkin,” jawab Razarudin.
Beliau berketa demikian mengulas pertanyaan media sama ada kedua-dua suspek utama kes pembunuhan itu sudah memasuki negara ini.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, setakat ini polis Thailand belum membuat apa-apa permohonan kepada polis Malaysia berhubung kes berkenaan.
“Kita (polis) belum dapat apa-apa maklumat daripada pihak (polis) Thailand.
“Permohonan dari kita pun tidak ada,” katanya lagi.
Khamis lalu, Razarudin berkata, pihaknya masih mengesan kedua-dua suspek dan mengesahkan tiada perkembangan terbaharu berhubung usaha mengesan suspek setakat ini.
Media sebelum ini melaporkan polis dalam keadaan waspada berikutan dua suspek kes bunuh seorang pegawai polis berkemungkinan melarikan diri ke negara ini.
Suspek dikenali sebagai Abdullah Samok, 30, dan Abdullah Bulat, 40, masing-masing berasal dari daerah Chanae dan Rueso di Thailand.
Razarudin dilaporkan berkata, dua suspek berkenaan berkemungkinan melarikan diri ke Malaysia untuk bersembunyi di kawasan hutan sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.
Kejadian dilaporkan berlaku pada 14 Januari lalu membabitkan suspek yang dikatakan mempunyai 14 waran tangkap atas pelbagai kesalahan berkaitan isu keselamatan.
Dalam kejadian itu, mangsa, Leftenan Kolonel Suwit Chuaythewarit, 56, dan anaknya, Senior Sarjan Mejar, Dome Chuaythewarit, 35, maut dalam satu serangan hendap di Narathiwat. – MalaysiaGazette