KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mempertikaikan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini yang memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan menaikkan tarif elektrik.
Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan parti itu, Ong Siang Liang berkata, apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya, dan ia membuktikan Anwar dalam masa yang sama disifatkan gagal memahami keresahan rakyat.
“Gerakan menyatakan rasa kecewa dengan pengumuman Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang jelas menunjukkan kegagalan dalam mengurus tadbir negara dan kegagalan memahami keresahan.
“Pada 27 Disember 2024, beliau menafikan sebarang kenaikan tarif elektrik yang akan membebankan rakyat. Namun, kenyataan terbaru, semalam Anwar mengesahkan bahawa kenaikan tarif elektrik akan berlaku pada separuh kedua tahun ini, walaupun bukan pada kadar 14 peratus seperti yang didakwa sebelum ini,” katanya menerusi kenyataan.
Tegasnya, kenyataan yang berubah-ubah itu menunjukkan ketidaktentuan dan ketidakcekapan dalam membuat keputusan yang konsisten oleh Perdana Menteri.
“PMX sebelum ini menegaskan bahawa kerajaan tidak akan membenarkan kenaikan tarif elektrik yang boleh menjejaskan majoriti rakyat tetapi semalam Anwar ‘spin’ lagi,” katanya.
Mengulas lanjut, parti berkenaan menyuarakan kebimbangan kenaikan tarif elektrik akan mengakibatkan kesan berantai apabila peniaga akan memindahkan kos tambahan kepada pengguna dengan alasan perbelanjaan operasi meningkat.
“Anwar kata kerajaan bersedia untuk mendengar pandangan pelbagai pihak mengenai cadangan kenaikan tarif elektrik; persoalannya, bila dia nak dengar? Selepas kenaikan dikuatkuasakan atau sebelum berlakunya domino effect disebabkan kenaikan tersebut? Bukankah Kerajaan perlu faham bahawa rakyat terus dihimpit dengan pelbagai isu yang terutamanya disebabkan oleh ketidakcekapan pentadbiran Madani.
“Kerajaan perlu memastikan ia tidak meningkatkan kos kepada sektor-sektor yang sudah pun terkesan dengan kenaikan harga, yang akhirnya boleh menyebabkan lonjakan harga barangan. Rakyat berhak mendapat kepimpinan yang telus, konsisten, dan berintegriti. Malangnya, Kerajaan Madani telah sekali lagi membuktikan sebaliknya,” tambahnya.
Semalam, Anwar pada majlis sambutan Tahun Baru Cina berkata tarif elektrik perlu dinaikkan pada separuh kedua tahun ini.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Ng Yih Pyng yang membangkitkan kebimbangan bahawa kenaikan tarif boleh memberi kesan yang membawa kepada peningkatan kos menjalankan perniagaan dan inflasi yang lebih tinggi. – MalaysiaGazette