WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tidak dapat memberi jaminan bahawa gencatan senjata yang lemah di Semenanjung Gaza akan terus berkuat kuasa.
Trump memberitahu media di Pejabat Oval sehari sebelum beliau menerima kinjungan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di White House.
“Saya pernah melihat orang dianiaya. Tiada siapa yang pernah melihat perkara seperti itu. Tidak, saya tidak ada jaminan bahawa keamanan akan berlaku,” katanya.
Trump akan menjadi tuan rumah kepada Netanyahu pada hari Selas, lawatan rasmi pertama seorang pemimpin asing ke White House sejak beliau memegang jawatan tersebut bulan lalu.
Sebelum berlepas ke AS, Netanyahu menangguhkan menghantar pasukan perundingnya ke Qatar untuk rundingan yang ditetapkan pada Isnin mengenai fasa kedua perjanjian gencatan senjata Gaza sehingga pertemuannya dengan Trump, kata media Israel.
Fasa pertama perjanjian itu termasuk gencatan senjata selama enam minggu, melibatkan pembebasan tahanan oleh Israel dan Hamas ketika rejim zionis itu menarik pasukannya keluar dari kawasan berpenduduk di Gaza.
Di bawah syarat gencatan senjata, fasa pertama boleh dilanjutkan selagi pihak-pihak meneruskan rundingan mereka untuk mencapai fasa kedua perjanjian itu, yang termasuk pembebasan tebusan selanjutnya, termasuk askar lelaki Israel.
Semua tentera Israel yang tinggal dijangka berundur dari Gaza semasa fasa kedua, dan gencatan senjata sementara akan menjadi kekal.
Kempen ketenteraan Israel telah membunuh lebih 47,000 rakyat Palestin di Gaza, dan meninggalkan wilayah itu dalam runtuhan di tengah-tengah perpindahan besar-besaran dan kekurangan bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan.
Ditanya sama ada beliau akan menyokong rampasan tanah oleh Israel terhadap Tebing Barat yang diduduki, Trump terbuka kepada cadangan itu.
“Baiklah, saya tidak akan bercakap tentang itu. Ia sememangnya sebuah negara kecil dari segi tanah.
“Sebenarnya, ia adalah sebidang tanah yang agak kecil, dan sangat mengagumkan mereka dapat melakukan apa yang mereka mampu lakukan. Apabila anda memikirkannya, ia adalah banyak kuasa otak pintar yang baik, tetapi ia adalah sebidang tanah yang sangat kecil, tidak ada persoalan mengenainya,” ujar beliau. – Agensi