Sarah Syazwani Saari

IPOH – Usul meningkatkan had umur keahlian Puteri UMNO kepada 40 tahun merupakan keperluan strategik bagi memastikan kesinambungan kepimpinan dan pengukuhan peranan sayap parti tersebut untuk memperjuangkan suara wanita muda dalam parti.

Bercakap kepada Malaysia Gazette, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Perak, Sarah Syazwani Saari berkata, peningkatan had umur yang diusulkan itu mampu memberi ruang kepada ahli yang lebih berpengalaman untuk membimbing dan memperkasakan ahli yang lebih muda.

Menurut beliau, ia juga dapat mengurangkan kadar kehilangan ahli secara mendadak serta memastikan kesinambungan dalam kepimpinan Puteri UMNO.

“Di Perak, pada tahun lalu, Puteri UMNO berjaya mendaftarkan seramai 1,422 ahli baharu. Namun, pada tahun ini, kami kehilangan seramai 1,995 ahli yang melepasi had umur keahlian.

“Kehilangan ini melibatkan ahli-ahli yang datang daripada pelbagai latar belakang dan mempunyai pengalaman yang berharga dalam organisasi serta kehidupan bermasyarakat.

“Jika had umur keahlian dilanjutkan kepada 40 tahun, lebih ramai wanita muda yang berpengalaman dalam pelbagai bidang dapat terus menyumbang kepada parti, sekaligus memperkukuhkan peranan Puteri UMNO sebagai platform pembangunan kepimpinan wanita muda,” katanya.

Tambah beliau, Puteri UMNO yang telah lama berkhidmat dalam parti akan mempunyai lebih banyak masa untuk membina jaringan dan memainkan peranan sebagai mentor kepada ahli-ahli baharu di mana peralihan kepimpinan dalam Puteri UMNO dapat dilakukan secara lebih tersusun dan berkesan.

“Justeru itu, Puteri UMNO Negeri Perak menyatakan sokongan penuh terhadap usul Pergerakan Puteri UMNO untuk meningkatkan had umur keahlian Puteri daripada 35 tahun ke 40 tahun,” katanya.

Mengulas lanjut, Sarah Syazwani berkata, langkah berkenaan juga bakal meningkatkan daya saing Puteri UMNO dalam arena politik yang semakin mencabar.

Ujarnya, golongan wanita muda yang sebelum ini menghadapi kekangan dalam menyertai politik kerana tuntutan kerjaya dan keluarga juga akan mempunyai lebih banyak masa untuk melibatkan diri secara aktif dalam parti sebelum beralih ke peringkat Wanita UMNO.

“Dalam masa yang sama, pelanjutan had umur ini akan memberi impak positif terhadap pengurusan organisasi Puteri UMNO.

“Kepimpinan yang lebih matang akan dapat merangka strategi yang lebih holistik dalam mendekati anak muda serta memperjuangkan isu-isu yang lebih relevan dengan mereka, termasuk dalam aspek ekonomi, sosial, dan Pendidikan,” katanya.

Beliau berkata, Puteri UMNO Negeri Perak percaya bahawa perubahan berkenaan bukan sekadar soal angka, tetapi merupakan satu strategi jangka panjang untuk memastikan sayap berkenaan kekal relevan dan menjadi platform utama kepada suara wanita muda dalam UMNO.

“Dengan pelaksanaan usul ini, Puteri UMNO akan lebih bersedia dalam menghadapi cabaran politik semasa serta terus menjadi wadah perjuangan yang efektif bagi anak muda,” katanya.

Terdahulu, Malaysia Gazette melaporkan UMNO bercadang untuk meningkatkan umur keahlian Puteri UMNO kepada 40 tahun.

Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, semua Bahagian telah diminta untuk mengadakan perbincangan dan memberi pandangan melalui UMNO negeri masing-masing. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here