JOHOR BAHRU – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) berjaya menumpaskan 25 sindiket dadah berskala besar termasuk melibatkan jaringan antarabangsa dengan nilai rampasan pelbagai jenis dadah seberat 7.30 tan bernilai RM99.76 juta pada tahun lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, seramai 99 ahli sindiket berjaya diberkas dalam operasi yang dilakukan sekaligus menjadikan Johor antara negeri paling aktif memerangi jenayah narkotik.
“JSJN Johor membanteras sindiket dadah menerusi operasi di lokasi panas seperti kawasan Felda, Projek Perumahan Rakyat (PPR), terminal bas, jeti nelayan, perumahan kos rendah serta lokasi pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
“Menerusi pencapaian prestasi melalui petunjuk prestasi utama (KPI) berakhir 31 Disember lalu, polis Johor telah menjalankan 21,093 serbuan melibatkan pemeriksaan seramai 46,878 orang.
“Seramai 25,065 orang telah ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah, iaitu pencapaian ketiga tertinggi di Malaysia dengan rampasan 7.30 tan dadah yang boleh menampung keperluan 3.65 juta penagih.
“Dalam kejayaan terbesar tahun lalu, JSJN Johor berjaya melumpuhkan sindiket antarabangsa menerusi Op Jaring 12 pada 29 Mei 2024, yang menyaksikan rampasan dadah bernilai RM12.63 juta serta penahanan 14 individu termasuk warga asing.
“Sindiket pengedaran dadah tempatan terbesar pula berjaya ditumpaskan dalam Op Jaring 23, pada 15 Oktober 2024, dengan nilai rampasan dan sitaan mencecah RM28.58 juta. Seramai tujuh individu ditahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, selain menumpaskan sindiket dadah, JSJN Johor menyita aset mereka yang bernilai RM17.23 juta.
Menurutnya, dalam tindakan terhadap penagih berulang, seramai 739 individu ditahan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952, yang menjadi tangkapan keempat tertinggi antara di Malaysia.
“Dalam tempoh sama, seramai 139 individu dikenakan tindakan bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) Akta Dadah Berbahaya 1985, yang merupakan pencapaian kedua tertinggi antara kontinjen dalam negara,” ujarnya.
Secara keseluruhannya kata beliau, polis Johor berjaya mencapai semua KPI yang ditetapkan bagi tahun lalu.
“Polis Johor juga menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah di kawasan mereka melalui Hotline JSJN talian 012-2087222,” katanya.- MalaysiaGazette