Muhamad Tarmizi Sudin ditemui selamat hanyut bersama bot fiber pada Selasa Foto ihsan : JBPM

RAUB – Abang kepada mangsa dikhuatiri lemas ketika mandi bersama adiknya di Sungai Kampung Badang, Jalan Cheroh dekat Batu Talam dekat sini ditemui selamat  pada Selasa lalu.

Bagaimanapun mangsa dikenali Ahmad Khairul Nizam Sudin, 22, masih belum ditemui sehingga hari ini, kata Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa.

Menurutnya, khidmat dua anjing pengesan K9, Lady dan Grouse dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) digunakan pada hari kedua.

“Abang mangsa, Muhamad Tarmizi Sudin berusia 23 tahun ditemui selamat dan hanyut bersama bot fiber pada semalam (Selasa),” katanya.

Semalam pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.08 petang dan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub bersama tiga jentera dikerahkan ke tempat kejadian.

Beliau berkata, operasi ini turut disertai anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam.

“Enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bukit Angin juga telah digerakkan ke lokasi. Setakat ini, mangsa masih belum ditemui dan operasi ditangguhkan pada pukul 8 malam (Rabu) dan operasi akan disambung pada pagi esok (Khamis),” katanya menerusi kenyataan malam ini.

Tambah Mohd Salahuddin, pasukan bomba membuat operasi pencarian secara terbuka di kawasan sekitar tebing sungai tersebut sejak hari pertama operasi.

Sementara itu, Mohd Salahuddin mengingatkan kepada orang ramai agar mengelak mandi atau sebarang aktiviti di lokasi berisiko terutama ketika masih berdepan musim Monsun Timur Laut (MTL) serta mengamalkan pemakaian alat apungan peribadi (PFD). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast