Muhammad Ismail (kiri) mengukur pakaian seragam sekolah kepada salah seorang penerima di Mydin Bukit Jambul, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Sebilangan ibu bapa daripada keluarga B40 di negeri ini menarik nafas lega apabila diberi bantuan perbelanjaan untuk membeli pakaian serta kelengkapan sekolah susulan menerima sumbangan daripada Pertubuhan Lima Generasi (PLG) Pulau Pinang.

Bapa kepada salah seorang penerima, Mohamad Aslam Ashraf, 35, rasa syukur susulan anaknya antara yang terpilih untuk menerima sumbangan tersebut.

“Memang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang diberikan kerajaan meringgan beban namun dengan pemberian sebegini dapat menjiamatkan lagi perbelanjaan kami empat sekeluarga.

Mohamad Aslam.

“Malah besar harapan saya agar bantuan sebegini diteruskan pada masa hadapan kerana ia sangat bermakna buat kami yang terdiri daripada golongan B40,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Bagi S. Tamilselvi, 41, pula, sumbangan itu membuktikan komited NGO dalam membantu meringankan beban ibu bapa yang berpendapatan rendah.

“Bantuan itu sedikit sebanyak dapat membantu menampung perbelanjaan sekolah dua anak saya berumur 11 dan 17 tahun.

Tamilselvi bersama anaknya membeli sekolah selepas menerima sumbangan daripada PLG Pulau Pinang.

“Saya juga berterima kasih kerana bantuan ini bukan sahaja untuk anak-anak tetapi juga memberi sokongan penuh kepada masyarakat tanpa mengira bangsa atau agama,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PLG Pulau Pinang, Datuk Muhammad Ismail Abu Bakar menyifatkan bantuan itu bertujuan untuk menyokong anak-anak memerlukan mengejar impian untuk masa depan yang lebih baik.

“Kami berharap dengan bantuan diberikan, anak-anak ini dapat meneruskan impian mereka tanpa perlu terbeban dengan masalah kewangan keluarga.

Muhammad Ismail.

“Malah kami juga terbuka untuk memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan, tanpa membezakan kaum, bangsa atau agama,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast