PETALING JAYA – Seorang pegawai penyiasat (IO) memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, Ismanira Abdul Manaf berkeras mahu bertemunya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk sesi rakaman percakapan meskipun diarah pulang ke kediamannya.
Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin, 32, berkata, suami wanita itu, Zaim Ikhwan Zahari pula meninggikan suara dan mahu berjumpa beliau di pejabatnya bukan di Apartmen Idaman, Damansara Damai.
Menurut saksi pendakwaan keempat (SP4), beliau meminta Ismanira pulang selepas menerima panggilan telefon daripada Ketua Blok R, apartmen itu yang memaklumkan seorang kanak-kanak nampak kelibat anaknya di blok berkenaan.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz, Nina Syamimi berkata, beliau mahu pengadu dan suaminya pulang dahulu bagi memastikan kesahihan maklumat tersebut.
Mahkamah kini sedang mendengar perbicaraan pasangan Zaim Ikhwan dan Ismanira yang didakwa mengabaikan anak autisme mereka, Zayn Rayyan Abdul Matin, 6, dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Ujar Nina Syamimi, pada awalnya, beliau menerima panggilan telefon daripada seorang anggota dari Balai Sri Damansara pukul 5.51 petang, 5 Disember 2023 berhubung laporan kehilangan seorang kanak-kanak autisme yang dibuat ibunya, Ismanira.
“Saya kemudian bercakap dengan pengadu (Ismanira) dan bertanya bila anaknya hilang. Pengadu berkata anaknya hilang sejak pukul 12 tengah hari.
“Saya tanya kenapa buat laporan lewat. Dia kata, dia cuba cari di kawasan persekitaran hingga pukul 1 petang sebelum hubungi suaminya di tempat kerja dan mendapatkan nasihat jiran yang kemudian menasihatkannya buat laporan polis.
“Pengadu juga ada buat hebahan di laman Facebooknya,” ujar saksi pada sesi pemeriksaan utama.
Mahkamah turut mendengar keterangan seorang lagi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Nor Zaharuddin Sanip, 43, berhubung pencarian kanak-kanak autisme tersebut.
Menurut saksi pendakwaan kelima (SP5), Unit K9 bersama dua ekor anjing telah melakukan pencarian di kawasan belukar, anak sungai dan kebun dalam lingkungan radius 700 meter dari Blok R.
Bagaimanapun, saksi itu berkata, pencarian ‘orang hilang’ itu tidak berjaya dilakukan kerana ketika itu hujan selain berlaku pencemaran bau akibat kawasan tersebut dimasuki orang ramai.
Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung esok. – MalaysiaGazette.