KUALA LUMPUR – Beberapa individu dan unit dalam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan turut dipanggil berhubung siasatan dakwaan salah laku yang dikaitkan dengan pelakon dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki berhubung perolehan projek bernilai RM4 juta.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, pihaknya sedang meneliti senarai individu-individu yang akan dipanggil dalam masa terdekat.
“Yang itu kita masih lagi dalam siasatan dalaman dan kita sudah tubuhkan unit siasatan di bawah Datuk Bandar KL dan kita akan panggil semua mereka yang terlibat dalam proses itu.
“Kita tengah teliti lagi (laporan siasatan dalaman) dan beberapa individu yang akan dipanggil dan juga unit yang terlibat,” katanya kepada media hari ini.
Zaliha berkata demikian mengulas perta media berhubung siasatan dalaman berhubung dakwaan salah laku yang dikaitkan dengan Afdlin berhubung perolehan projek bernilai RM4 juta di bawah DBKL yang dijangka siap minggu depan.
Dalam pada itu, Zaliha turut berkata Afdlin akan turut dipanggil untuk siasatan berkenaan.
Sementara itu, Zaliha berkata DBKL akan memberikan laporan penuh siasatan berhubung dakwaan itu kepada beliau selepas siasatan selesai.
“Laporan penuh akan diberikan nanti kepada saya kemudian selepas selesai,” katanya lagi.
Sebelum ini, media melaporkan DBKL melancarkan siasatan dalaman berhubung dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat yang dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif dilapor mengesahkan siasatan itu dan sedang bekerjasama rapat dengan unit integriti DBKL.
Dakwaan salah laku membabitkan ahli lembaga penasihat itu mula tular di media sosial.
Ia membabitkan pelanggaran proses tadbir urus berkaitan perolehan projek kerja penerbitan bahan kreatif untuk DBKL bernilai RM4 juta, yang didakwa tidak diberikan melalui tender terbuka.
Dalam kenyataan susulan di media sosial, Afdlin menafikan dakwaan salah laku dalam perolehan projek di bawah DBKL.
Dakwa Afdlin, isu berkenaan sengaja dimainkan untuk memburukkan namanya. – MalaysiaGazette