Bapa kepada kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matin, Zaim Ikhwan Zahari (kanan) tiba di perkarangan Mahkamah bagi sambungan perbicaraan atas tuduhan menganiaya anak mereka di Kompleks Mahkamah, Petaling Jaya. Foto HARI ANGGARA, 05 FEBUARI 2025.

PETALING JAYA – Pihak yang terlibat dalam perbicaraan kes pengabaian Zayn Rayyan Abdul Matin akan melawat kawasan persekitaran Apartmen Idaman, Damansara Damai pada satu tarikh yang akan ditetapkan.

Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz mengemukakan permohonan lisan untuk melawat kawasan itu yang dikaitkan dengan siasatan kes `Orang Hilang’ ekoran laporan polis yang dibuat Ismanira Abdul Manaf.

Ujar beliau, lawatan perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum Mahkamah Sesyen di sini meneruskan sesi pemeriksaan utama terhadap dua pegawai polis pada perbicaraan pasangan Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya Ismanira.

Pihak pendakwaan berpendapat, keterangan lanjut Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin dan Asisten Superintendan, Nor Zaharuddin Sanip hanya akan diteruskan selepas lawatan dilakukan.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2025/02/05/ismanira-tiada-reaksi-kosong-tak-jawab-soalan/

https://malaysiagazette.com/2025/02/03/zayn-rayyan-pakai-lampin-antara-142-gambar-dikemukakan-di-mahkamah/

Sehubungan itu, Hakim Dr. Syahliza Warnoh menangguhkan sesi pemeriksaan utama terhadap kedua-duanya sementara menunggu lawatan dilakukan yang turut melibatkan penyediaan lojistik dan keselamatan.

Perbicaraan yang bermula 3 Februari lalu telah mendengar keterangan dua jurugambar yang merakam gambar-gambar tempat kejadian berdasarkan laporan polis yang dibuat Ismanira berhubung kehilangan anaknya.

Antara gambar yang dikemukakan di mahkamah termasuk lokasi `Orang Hilang’ ditemukan iaitu di tepi tebing laluan anak sungai berdekatan Blok R, Apartmen Idaman.

Mayat tersebut ditemukan berhampiran takungan air dalam keadaan berpakaian lengkap dengan lencana sekolah manakala terdapat kecederaan di tangan kanan dan luka di telinga kiri.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan pasangan Zaim Ikhwan dan Ismanira yang didakwa mengabaikan anak autisme mereka, Zayn Rayyan.

Menurut pertuduhan, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun (ketika kejadian), didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung esok. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here