Mas Ermieyati Samsudin

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) terkejut dengan kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke  bahawa tindakan memanggilnya bermotifkan politik.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, badan siasatan itu adalah sebuah Jawatankuasa Pilihan yang ditubuhkan Majlis Dewan Rakyat berlandaskan punca kuasa yang ada dalam Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Saya amat terkejut dan terkilan dengan kenyataan Anthony Loke apabila mengeluarkan kenyataan bahawa beliau dipanggil disebabkan beliau adalah menteri daripada parti DAP.

“Saya berpandangan bahawa kenyataan Anthony itu tidak tepat sekali memandangkan PAC telah memanggil ramai menteri serta mantan menteri dalam setiap prosiding yang diadakan dan langsung tiada kena mengena dengan parti mereka.

“Semua menteri-menteri yang hadir di hadapan PAC adalah atas tugas dan tanggungjawab mereka. Adakah Pengerusi PAC sebelum saya, yang juga daripada DAP mengadakan prosiding dengan memanggil saksi-saksi di kalangan Menteri Kabinet disebabkan parti mereka sama ada UMNO, BERSATU atau MCA,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mas Ermieyati membuat kenyataan balas itu apabila Anthony mempersoal tindakan PAC  untuk memanggil beliau susulan dakwaan kerugian RM500 juta dalam urus niaga saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Menyifatkan ia bermotifkan politik, Setiausaha DAP itu turut mempertikai kenyataan Mas Ermieyati itu sama ada ia cubaan mewujudkan persepsi negatif terhadapnya memandangkan beliau adalah seorang menteri daripada DAP.

“Dia (Mas Ermieyati) kena faham struktur MAHB, seolah-olah dia keliru…. saya tak tahu dia tak faham ataupun sengaja tak nak faham MAHB ini sebuah syarikat tersenarai dan ia bukan di bawah Kementerian Pengangkutan.

“Dia cuba nak mengaitkan isu ini dengan Kementerian Pengangkutan, saya tak tahu ada agenda politik atau tidak sebab kebetulan Menteri Pengangkutan ini daripada DAP, jadi dia nak salahkan DAP, apa pun (semua nak) salah DAP,” katanya hari ini.

Dalam kenyataan sama, Mas Ermieyati berkata, beliau bersikap profesional dalam memastikan kredibiliti dan profesionalisme Jawatankuasa ini sentiasa terpelihara dan dihormati sejak penubuhannya pada tahun 1959.

Malah prosiding siasatan adalah berkisar kepada Pengurusan Lapangan Terbang Awam di mana Kementerian Pengangkutan juga adalah pemegang taruh utama dalam pengurusan lapangan terbang awam.

“Skop prosiding tidak terhad semata-mata kepada pengambilalihan MAHB oleh konsortium GDA tetapi turut merangkumi isu kenaikan harga tiket ke Wilayah Sarawak dan Wilayah Sabah, isu kelewatan pemasangan aerotrain Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).

“Justeru, saya ingin bertanya kepada Anthony adakah beliau tidak mahu memberikan maklum balas atau pandangan sebagai Menteri Pengangkutan bagi menambah baik Pengurusan Lapangan Terbang Awam negara untuk dimasukkan dalam Laporan PAC.

“Sekiranya enggan terpulanglah kepada beliau dan sejarah akan merekodkan bahawa seorang Menteri Kabinet enggan hadir di hadapan PAC untuk memberikan pandangan dan penjelasan kepada PAC sedangkan ia adalah demi kebaikan rakyat dan negara,” katanya lagi.

Tegas Mas Ermieyati, PAC hanya mahu memastikan Penyata berhubung isu ini adalah sebuah laporan yang komprehensif, tidak berat sebelah dan dokumen yang menjadi rujukan semua pihak demi rakyat dan negara.

Sebelum ini, Mas Ermieyati tidak menolak kemungkinan akan memanggil beberapa individu penting termasuk Anthony sebagai Menteri Pengangkutan berhubung dakwaan kerugian RM500 juta dalam urus niaga saham MAHB oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata, Anthony bersama semua individu berkenaan akan dipanggil memberi keterangan dalam prosiding secara berperingkat yang akan bermula minggu kedua bulan ini.

Media sebelum ini melaporkan beberapa wakil badan bukan kerajaan (NGO) serta parti politik mendesak KWSP menjelaskan penjualan saham MAHB yang dimilikinya pada Januari 2023 dengan kadar harga sekitar RM6.74 seunit sebelum membelinya semula pada harga tawaran RM11 seunit dalam usaha menswastakan MAHB.

MCA turut meminta kerajaan menyiasat segera penjualan saham syarikat penerbangan awam itu, sekali gus menyaksikan KWSP hanya mempunyai pegangan saham lima peratus dalam MAHB. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here