KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pelancaran dua buah jilid buku yang berjudul A Malik Bennabi Reader oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) hari ini sebagai satu usaha yang sangat bermakna.
Ini kerana, kata Perdana Menteri, langkah itu dapat memperkenalkan, menghebahkan dan mendorong kefahaman yang lebih mendalam tentang salah seorang pemikir utama dunia Islam mutakhir ini.
Ujar beliau, pemikiran Malik Bennabi mencabar pemikiran konvensional selain mengimbau ke hadapan tentang bagaimana umat Islam boleh bangkit dengan kekuatan baharu iaitu secara membina kekuatan dalaman.
“Saya memanfaatkan dan banyak melontarkan idea-idea beliau sejak saya masih di dalam ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) lagi, ketika di Kementerian Pendidikan dan sehinggalah sekarang,” katanya.
Beliau berucap pada majlis pelancaran buku tersebut serta penubuhan International Institute of Futures Studies (IIFS) yang terletak di International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC), UIAM Kuala Lumpur Kampus di sini hari ini.
Yang turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dan Rektor UIAM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar.
Menyentuh mengenai IIFS, Anwar berkata, penubuhan insitusi itu disifatkan tepat pada masanya ketika umat Islam dan negara berada dalam persimpangan sama ada untuk meneruskan kebergantungan kepada pola pemikiran semasa atau memberi ruang kepada pemikiran pengajian masa depan.
“Sebab itu saya mendokong usaha ini supaya meletakkan dunia akademik kita terutama UIAM supaya bukan sahaja memanfaatkan pemikiran semasa tetapi turut memikirkan dan meneka masa depan yang terumbang-ambing dan tidak menentu.
“(Serta) cabaran persekitaran iklim yang berubah hebat dan kencang, geopolitik yang tidak menentu, politik yang sudah terhakis nilai kebenaran….ini semua harus difahami untuk memahami dunia hari ini yang mencabar.
“Ini termasuk teknologi baharu yang sukar diteka seperti mana yang berlaku dengan penguasaan AI (kecerdasan buatan) dari Amerika Syarikat dan penguasaan baharu oleh kekuatan AI dari China,” katanya.
Buku A Malik Bennabi Reader itu diterjemahkan dan dianotasikan oleh Prof. Dr. Mohamed El-Tahir El-Mesawi, pensyarah dari AbdulHamid AbuSulayman Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan (AHAS KIRKHS) UIAM.
Buku itu menghimpunkan gagasan dan pemikiran Malik Bennabi, seorang pemikir Muslim abad ke-20 yang menekankan kepentingan reformasi intelektual dan spiritual bagi kebangkitan tamadun Islam.
Sementara itu, penubuhan IIFS pula berperanan sebagai sebuah institusi yang meneroka perspektif masa depan dunia Islam melalui kajian strategik dan pelbagai disiplin ilmu.
IIFS bakal menjadi pusat rujukan utama dalam bidang pemikiran Islam, falsafah dan pembangunan global. – MalaysiaGazette