Datuk Seri Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR – Pembangkang mencadangkan agar sidang khas Dewan Rakyat dibuat bagi membincangkan masa depan Palestin selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berikrar negara itu akan mengambil alih Semenanjung Gaza.

Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) berkata, tindakan Trump itu seumpama mengisytiharkan perang kepada umat Islam dan semua pencinta kemanusiaan.

Malah beliau berkata, rancangan Trump itu bukan sahaja akan membawa kepada pembersihan etnik sepenuhnya, malah akan mengubah geopolitik dunia.

“Kami minta diadakan sidang khas Dewan Rakyat dan bersekali dengan Dewan Negara bagi bincang masa depan Palestin.

“Ini lebih gila suasananya dan tidak pernah berlaku di dunia kerana akan berubah geopolitik dunia,” katanya ketika perbahasan usul titah diraja pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Saifuddin berkata, sidang khas Parlimen berkenaan yang diperuntukkan di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) Dewan Rakyat juga boleh diadakan bersekali dengan Dewan Negara.

Wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut bersetuju dengan cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membantu pembangunan semula Gaza menerusi pembinaan sekolah, hospital dan masjid yang akan dilaksanakan dengan sokongan sektor swasta serta rakyat Malaysia.

Semalam, Trump berikrar AS akan mengambil alih Semenanjung Gaza selepas rakyat Palestin dipindahkan keluar ke negara lain.

Trump mendedahkan rancangannya yang mengejutkan itu, tanpa memberikan butiran terperinci, pada satu sidang media bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Washington.

Pengumuman itu menyusuli satu lagi cadangan ‘menggemparkan’ daripada Trump sebelum ini, iaitu memindahkan rakyat Palestin keluar dari Gaza ke negara jiran secara kekal.

Trump berkata, kira-kira dua juta penduduk Gaza harus ‘pergi ke negara lain yang mempunyai jiwa kemanusiaan.’ – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here