KUALA LUMPUR – Pemimpin dunia, badan antarabangsa dan organisasi hak asasi manusia perlu menghentikan rancangan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk memindahkan penduduk Gaza secara paksa.
Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) menolak dan mengutuk rancangan yang disifatkan sebagai pelanggaran jelas terhadap hak asasi manusia, undang-undang antarabangsa dan maruah asas rakyat Palestin.
Penasihat MAHAR, Nurul Izzah Anwar berkata, pemindahan paksa mana-mana komuniti tidak boleh diterima dan memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sedang berlaku di Gaza dan wilayah Palestin yang diduduki.
“Pengambilan wilayah secara paksa oleh mana-mana negara ke atas wilayah yang berdaulat, seperti yang diumumkan oleh Presiden Trump, adalah pelanggaran langsung terhadap undang-undang antarabangsa dan prinsip integriti wilayah.
“Tindakan sebegini merosakkan hak negara untuk penentuan nasib sendiri dan kedaulatan, serta menambah ketidakstabilan dan konflik. Rakyat Palestin mempunyai hak mutlak terhadap tanah air mereka dan penentuan nasib sendiri,” tegas Nurul Izzah dalam kenyataan.
Nurul Izzah berkata, sebarang usaha untuk memindahkan atau mengusir penduduk Gaza secara paksa mesti ditentang secara tegas oleh masyarakat antarabangsa.
Rancangan yang dikemukakan oleh Trump, katanya, bukan sahaja tidak adil tetapi juga memperdalam penindasan dan penderitaan terhadap rakyat Palestin yang telah lama mengalami kekejaman.
Tembah beliau, setiap pihak perlu berdiri teguh dan solidariti bersama rakyat Palestin dalam perjuangan untuk keadilan, kedaulatan serta keamanan.
“Kita tidak boleh membiarkan sejarah mengulangi babak gelapnya, dan menjadi tanggungjawab bersama kita untuk memastikan keadilan ditegakkan.
“MAHAR menggesa masyarakat antarabangsa untuk meningkatkan sokongan terhadap Palestin, menuntut pertanggungjawaban daripada mereka yang bertanggungjawab atas kezaliman ini, serta berusaha ke arah masa depan di mana rakyat Palestin dapat hidup dengan bermaruah, selamat dan bebas di tanah air mereka yang sah,” katanya.
Media hari ini melaporkan, Trump mengemukakan cadangan agar AS ‘mengambil alih’ Gaza semasa menerima kunjungan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Washington DC.
Beliau turut mengulangi gesaannya supaya rakyat Palestin dipindahkan secara kekal dari wilayah yang dilanda perang itu menuju ke negara Asia Barat lain, walaupun rakyat Palestin dan Mesir dan Jordan sebelum ini menolak cadangan tersebut.
“Amerika Syarikat akan mengambil alih Semenanjung Gaza dan kami akan melaksanakan tugas ini dengan baik. Kami akan bertanggungjawab untuk membersihkan sisa bom yang tidak meletup serta senjata berbahaya lain di lokasi tersebut, meratakan kawasan itu dan menghapuskan bangunan yang musnah.
“Kami akan membangunkan ekonomi di kawasan itu yang akan menyediakan pekerjaan dan perumahan tanpa had bagi penduduk setempat,” kata Trump pada sidang akhbar bersama Netanyahu.- MalaysiaGazette