KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan ingin menjelaskan perolehan menggunakan pendekataan sewaan bagi perkhidmatan 28 helikopter kepada pelbagai agensi kerajaan adalah teratur dan bersandarkan keperluan.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kelebihan-kelebihan pendekatan ini telah di hujahkan semasa sesi penggulungan Belanjawan 2025 (Peringkat Dasar) yang lalu dan oleh Perdana Menteri semasa menjawab pertanyaan lisan di Dewan Rakyat pada 28 November 2024.
“Walau bagaimanapun, perkara ini akan turut diulas dan dijawab sekali lagi oleh saya semasa sesi penggulungan kementerian bagi perbahasan kali ini yang dijadualkan pada 20 Februari 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum itu, Perdana Menteri ketika ditemui selepas merasmikan penubuhan International Institute of Future Studies di sini hari ini berkata, Mohamed Khaled akan membuat penjelasan mengenai isu yang sama.
Ia berkenaan isu kos pajakan 28 unit helikopter menerusi kontrak bernilai RM16 bilion bagi tempoh 15 tahun untuk pasukan keselamatan negara.
Semalam ketika sidang Dewan Rakyat, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menuntut penjelasan kerajaan berhubung isu kos pajakan helikopter itu yang disifatkan beliau sangat besar jika dibandingkan dengan kos pembelian 32 buah helikopter yang dibuat Poland. – MalaysiaGazette