Ahmad Fahmi Mohd Samsudin

KUALA LUMPUR – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa cadangan kenaikan kadar tarif elektrik yang dijangka berkuat kuasa pertengahan tahun ini dikaji semula secara mendalam dan tuntas.

Ini kerana menurut Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, sebarang kenaikan kadar tarif elektrik itu akan memberi kesan berantai kepada kehidupan rakyat.

Dalam masa sama, beliau menggesa kerajan memberikan kepastian segera dengan jelas dan lengkap mengenai kadar baharu tarif elektrik tersebut.

Jelasnya, perubahan kadar baharu tarif itu akan menimbulkan tanda tanya dalam kalangan rakyat yang sedang cuba memenuhi keperluan asas mereka di sebalik tekanan akibat kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Berdasarkan kepada apa yang berlaku sebelum ini, apa jua kos kenaikan membabitkan petrol serta elektrik akan ditanggung secara tidak langsung oleh rakyat.

“Dalam erti kata lain, rakyat tetap akan merasai kesan kenaikan itu secara langsung walaupun dilaporkan kadar tarif untuk 85 peratus rakyat tidak terjejas,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang Dewan Rakyat menjelaskan, kenaikan kadar tarif elektrik yang akan dilaksanakan Julai depan tidak akan memberi kesan terhadap 85 peratus pengguna.

Ini kerana, jelas Anwar, kadar tarif baharu itu hanya melibatkan sektor perindustrian selain sebahagian daripada golongan yang disifatkan `mahakaya’.

Sementara itu, Ahmad Fahmi berkata, kenaikan kadar tarif elektrik kelak akan memberi kesan kepada pelbagai sektor lain termasuk pelancongan yang mana dijangka mempengaruhi kos operasi sehingga mempengaruhi kadar bayaran untuk penginapan.

Jelasnya, kesannya akan lebih terasa mengambil kira kemungkinan pelaksanaan subsidi bersasar untuk petrol yang dilaporkan akan dilaksanakan pada masa yang sama.

“ABIM menilai pelaksanaan dasar ini berpotensi mencetuskan kesan berganda yang perlu dihadapi rakyat yang terpaksa meningkatkan komitmen kewangan peribadi.

“Dalam erti kata lain, mana-mana pihak tidak perlu ada sebarang tanggapan bahawa rakyat inginkan perkhidmatan percuma seperti elektrik, kerana realitinya mereka masih membuat bayaran untuk mendapatkan aksesnya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here