KUALA LUMPUR – Notis Anugerah dijangka dikeluarkan kepada U Mobile Sdn. Bhd. (U Mobile) pada bulan ini bagi membolehkan syarikat telekomunikasi itu melaksanakan pembangunan rangkaian 5G kedua tertakluk kepada kelulusan Pelan Perniagaan Terperinci tersebut.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menilai Pelan Perniagaan Terperinci yang telah dikemukakan oleh U Mobile kepada MCMC.

Menurutnya, U Mobile juga perlu menyelesaikan beberapa obligasi di bawah Perjanjian Pemegang Saham yang ditandatangani oleh U Mobile dan penyedia rangkaian mudah alih bersama Digital Nasional Bhd (DNB) terlebih dahulu sebelum U Mobile boleh menyediakan perkhidmatan rangkaian 5G kedua.

“Proses ini memerlukan tempoh masa sekurang-kurangnya lima bulan untuk diselesaikan.

“Bagaimanapun, U Mobile boleh menjalankan kerja-kerja awalan di tapak berdasarkan Pelan perniagaan Terperinci yang telah diluluskan oleh MCMC,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Chong Zhemin (PH-Kampar) yang meminta Menteri Komunikasi menyatakan berapa lama masa akan diberikan kepada U Mobile untuk melancarkan rangkaian 5G kedua dan bilakah pengguna dijangka mendapat manfaat daripada rangkaian kedua 5G ini.

Pada November lalu, pemiliuan U Mobile sebagai penyedia 5G rangkaian kedua negara dibuat berdasarkan gabungan beberapa faktor, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

Faktor-faktor tersebut adalah seperti rancangan perniagaan dan teknikal yang dikemukakan, rekod kadar aduan dan kepuasan pelanggan serta prestasi syarikat dalam melaksanakan inisiatif infrastruktur lain, kata suruhanjaya itu.

Selain itu, faktor lain yang turut diambil kira adalah sumbangan syarikat tersebut kepada projek Penyediaan Perkhidmatan Sejagat (USP) seperti Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 dan Projek Penaiktarafan 4G yang selaras dengan komitmen MCMC untuk meningkatkan pengalaman pengguna dan kecemerlangan perkhidmatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here