Dr. Teo Kok Seong

KUALA LUMPUR – Penentangan terhadap cadangan mewujudkan garis panduan bagi umat Islam menghadiri acara di rumah ibadat bukan Islam didorong oleh Islamofobia yang wujud pada segelintir masyarakat.

Pakar bahasa dan perpaduan, Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, cadangan berkenaan sepatutnya tidak dibantah jika semua pihak memahami bahawa garis panduan ini  hanya untuk orang Islam.

Apatah lagi katanya, garis panduan berkenaan belum pun siap.

“Yang diperlihatkan menerusi penentangan terhadap panduan ini adalah Islamofobia yang membabi buta. Sebab garis panduan tidak siap lagi.

“Tetapi DAP, MIC, MCA sudah menentangnya. Perkara ini tidak patut berlaku. Garis panduan ini dibuat kepada orang Islam, bukan kepada bukan Islam.

“Tidak bolehlah sebab Islamofobia, kita tentang panduan yang belum siap lagi,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurut beliau, siapa pun dalam negara ini tidak boleh menyangkal hakikat bahawa Malaysia adalah negara yang menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan.

Sehubungan itu, Kok Seong menegaskan adalah tidak salah dasar Islam itu diperkukuhkan.

Pada masa sama, garis panduan itu memberi kebaikan kerana membantu bukan Islam memahami Islam, sekali gus mengelakkan tercetusnya isu sensitif pada masa akan datang.

Setidak-tidaknya ia dapat mengelak berlaku salah faham antara satu sama lain, ujar beliau.

Hakikatnya, Islam merupakan agama Persekutuan, suka atau tidak secara moralnya negara ini menegakkan ajaran Islam.

“Jadi saya kira beberapa ahli masyarakat bukan Islam yang waras dapat lihat, yang tidak waras adalah kerana faktor Islamofobia bukan takut tapi tidak suka kepada Islam.

“Nak kata kasar lagi benci kepada Islam.

“Garis panduan itu akan menyatakan apa boleh dan tidak boleh dibuat dalam hal menghadiri majlis agama pihak lain dan di situ bagi saya baik untuk elak berlakunya perkara yang menyentuh sensitiviti sehingga Melayu Islam dicabar.

“Ini semua untuk pengetahuan bukan Islam, juga sebenarnya tentang Islam secara umum,”jelasnya.

Beliau yang juga dikenali sebagai pakar sejarah berkata, suara penentangan tentang isu seperti ini sepatutnya tidak tercetus kerana semua kaum sudah hidup di negara ini sejak merdeka berpuluh-puluh tahun lalu.

Sewajarnya, sepanjang tempoh tersebut perpaduan kaum dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama semakin kukuh.

“Bila ada penentangan sebegini bermakna kita masih belum bersatu lagi, walaupun sudah 70 tahun hidup bersama tapi masih tidak memahami antara satu sama lain,” tambahnya.

Sementara itu, Kok Seong mengingatkan pihak-pihak tertentu supaya tidak menyuarakan ketidakpuasan hati sekiranya kumpulan bukan Islam tidak dilibatkan dalam libat urus dalam usaha mewujudkan garis panduan berkenaan.

“Sudah tentu bukan Islam pun tidak perlu terlibat dalam libat urus, sebab ini dasar Islam untuk orang Islam,” katanya lagi.

Terdahulu, Menteri di jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata cadangan garis panduan bagi majlis melibatkan umat Islam di rumah ibadat bukan Islam masih dalam proses libat urus Bersama pihak berautoriti.

Katanya, proses itu melibatkan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN) dan diteliti secara komprehensif oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Ke-126.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here