BENTONG – Helikopter Bell 206L4 dengan nombor pendaftaran PK-ZUV dipercayai bergesel dan terbalik sebelum terbakar dalam kejadian di Jalan Lama Bentong-Kuala Lumpur, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitendan Zaiham Mohd Kahar menjelaskan, pesawat tersebut sudah hampir mendarat pada ketinggian tiga kaki atau kurang 1 meter daripada tempat pendaratan di sebuah tapak perkhemahan di Batu 9, di sini.
“Bagaimanapun, ketika hendak mendarat pada ketinggian tiga kaki (kira-kira 0.9 meter),skid (kaki) helikopter bergesel dengan tempat pendaratan dan terbalik sebelum berlaku kebakaran.
“Helikopter tersebut terhempas ketika hendak melakukan pendaratan bagi mengisi minyak selepas terbang dari sebuah tapak projek sejauh 16 kilometer dari tapak projek, katanya dalam sidang media di lokasi kejadian, di sini.
Kejadian sekitar jam 10.20 pagi itu telah mengakibatkan seorang jurutera warga Indonesia, Finsen Reskey Sembiring, 27, maut akibat terkena libasan kipas utama manakala juruterbang juga warga Indonesia, Kustiyadi, 44, terselamat.
ARTIKEL BERKAITAN
Menurut Zaiham, pihaknya sedang menunggu pegawai dari Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan bagi menjalankan siasatan secara terperinci mengenai punca nahas itu.
“Pada masa sama, turut berada di lokasi adalah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” ujarnya.
Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazete di lokasi mendapati pintu masuk lokasi kejadian berdekatan Bentong Fruit Farm dikawal rapi oleh anggota polis.
Dalam pada itu, kira-kira 20 petugas media turut berada di lokasi terbabit bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung kejadian. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN