KUALA LUMPUR- Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan satu kemalangan yang melibatkan sebuah helikopter Bell 206L4, nombor pendaftaran PK-ZUV, di tapak pendaratan helikopter berhampiran Bentong, Pahang, hari ini pada jam 10.26 pagi.
Helikopter tersebut, yang disewa dan dikendalikan oleh MHS Aviation Berhad, sedang menjalankan penerbangan kerja udara.
Maklumat terakhir yang dilaporkan oleh pengendali kepada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan (FIS) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) pada jam 10.18 pagi memaklumkan bahawa helikopter itu sedang kembali ke tapak pendaratan.
Kemalangan tersebut mengorbankan seorang kru darat, manakala juruterbang helikopter dilaporkan selamat.
Siasatan lanjut akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia selaras dengan Peraturan Penerbangan Awam 2016, Bahagian XXVI.
Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), PBK I Haznan Basir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 10.39 pagi tadi.
Katanya, seorang jurutera warga Indonesia, Pinsan Rizky meninggal dunia akibat terkena bilah kipas helikopter manakala juruterbang yang dikenali sebagai Kustiyadi, selamat.
Tambah beliau, di lokasi kejadian, pasukan JBPM mendapati sebuah helkopter telah musnah terbakar 100 peratus ketika berada di darat.
Kejadian berlaku berhampiran kolam air panas, Jalan Lama Kuala Lumpur, Bentong, Pahang.-MalaysiaGazette