S. Wairavi, (kanan) dan anaknya, C. Tharshini, yang merupakan pelajar jurusan undang-undang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini hari ini atas tiga pertuduhan mencuri barangan kemas milik pelanggan mereka bernilai lebih RM20,000 ketika membersihkan sebuah rumah tahun lalu.

MELAKA – Seorang ibu dan anak perempuannya, pelajar jurusan undang-undang mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan mencuri barangan kemas milik pelanggan mereka bernilai lebih RM20,000 ketika membersihkan sebuah rumah tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh, S. Wairavi, 46, dan anaknya, C. Tharshini,19, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini hari sebaik ketiga-tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Wairavi berdepan satu pertuduhan mencuri sebentuk cincin emas milik mangsa lelaki berusia 61 tahun.

Anaknya, Tharshini turut berdepan dua pertuduhan mencuri seutas coker emas dan sepasang subang emas milik mangsa perempuan berusia 17 tahun.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah kediaman di Taman Seri Mangga  Seksyen 1, Melaka antara 1 Disember 2024 hingga 13 Januari lalu antara jam 10 pagi dan 6 petang.

Pendakwaan kedua-dua tertuduh dibuat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib mencadangkan jaminan RM15,000 ke atas Wairavi dan RM8,000 bagi setiap pertuduhan yang dihadapi Tharshini.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu dikenakan jaminan rendah kerana Wairavi seorang ibu tunggal yang perlu menanggung empat anak masih bersekolah.

Tharshini pula memberi alasan masih belajar jurusan undang-undang di sebuah institusi pengajian tinggi swasta.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Majistret Nur Afiqah Radhiah kemudian menetapkan jaminan RM20,000 bagi kedua-dua tertuduh.

Mahkamah menetapkan 17 Mac ini sebagai tarikh bagi serahan dokumen dan lantikan peguam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here