Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin bersama Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 24 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR –  Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menafikan dakwaan Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan (Backbenchers) bahawa beliau telah membuat tuduhan ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menderhaka terhadap institusi diraja.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Larut itu menjelaskan, beliau tidak menyebutkan nama Anwar secara khusus ketika membuat kenyataan itu.

Beliau berkata, kenyataanya tentang titah itu boleh disemak semula daripada rakaman video serta senarai penyata rasmi atau hansard Parlimen.

“Saya kata kalau ada apa yang telah pun diputuskan oleh mahkamah, kalau benar mereka menyorokkan (titah adendum) itu adalah satu penderhakaan.

“Jadi, siapa yang menderhaka? Mereka yang menyorokkan (titah adendum). Mereka yang menyorok itu mungkin satu, mungkin dua, mungkin tiga. Kita tak tahu siapa,” katanya pada sidang media di Parlimen di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, perkara itu hendaklah disiasat untuk mengetahui siapa di pihak kerajaan yang menyorok titah tersebut.

Semalam, Pengerusi Backbenchers, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, tuduhan yang mengatakan perdana menteri menderhaka terhadap institusi diraja disifatkan sebagai satu fitnah jahat dan tidak berasas.

Menurut beliau yang Ahli Parlimen Paya Besar, , jika ketua pembangkang melemparkan tuduhan tersebut dengan merujuk titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkaitan tahanan rumah terhadap Datuk Seri Najib Razak, perkara itu telah dijawab oleh Anwar.

Katanya, Perdana Menteri telah menjelaskan bahawa titah tersebut tidak pernah diserahkan kepada beliau dan menegaskan bahawa urusan berkaitan titah adendum adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara (AGC), bukan di bawah tanggungjawab Perdana Menteri.

Kelmarin, sidang dewan rakyat kecoh apabila Hamzah membangkitkan isu kewujudan titah berkenaan serta dakwaan penderhakaan terhadap institusi diraja.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul kemudiannya melarang sebarang perbahasan berkaitan titah adendum dalam sidang Parlimen kali ini.

Johari menetapkan larangan itu berdasarkan Peraturan Mesyuarat 36(2) selepas RSN Rayer (PH-Jelutong) mempersoalkan tindakan ahli Parlimen pembangkang.

Selain itu, beliau turut melarang penggunaan perkataan “derhaka” dalam perbahasan mengenai isu titah berkenaan mengikut Peraturan Mesyuarat 36(7). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast