KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah
diperuntukkan sejumlah RM50 juta untuk melaksanakan Inisiatif Penyelenggaraan Rumah
Ibadat Bukan Islam (RIBI) di seluruh negara melalui Inisiatif Belanjawan Tahun 2024.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, pada tahun lalu, KPKT telah meluluskan sebanyak 430 permohonan melibatkan peruntukan sebanyak RM48.9 juta.
Menurutnya, pada tahun 2023, KPKT telah meluluskan peruntukan sebanyak RM24.7
juta melibatkan inisiatif penyelenggaraan ke atas 205 RIBI di seluruh negara.
“Kerajaan Madani melalui Belanjawan Tahun 2025 memperuntukkan sejumlah RM50 juta bagi meneruskan Inisiatif RIBI dan KPKT mensasarkan 200 RIBI menerima sumbangan penyaluran peruntukan dengan jumlah maksimum RM250,000 bagi setiap RIBI.
“Sasaran bilangan 200 RIBI akan bertambah sekiranya jumlah yang dipohon oleh setiap RIBI tidak melebihi had maksimum yang ditetapkan.
“Kerajaan Madani meraikan kepelbagaian kaum dalam negara sebagai usaha membina sebuah negara Malaysia Madani yang makmur di mana KPKT sentiasa mengutamakan
aspek keterangkuman semua pihak dalam memperoleh manfaat daripada kerajaan dan turut memberikan perhatian kepada RIBI,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Ganabatiru A/L Veraman (PB-Klang) yang meminta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan berapa jumlah peruntukan yang disalurkan kepada RIBI pada tahun 2023 dan 2024 dan bagaimana kerajaan merancang untuk meningkatkan peranan Ahli-ahli Parlimen dalam proses pengagihan dana kepada Rumah Ibadah Bukan Islam.
Kor Ming menambah, pada masa ini, KPKT telah menyediakan platform kemudahan permohonan inisiatif secara dalam talian melalui Sistem e-RIBI di mana pemohon hendaklah mengemukakan permohonan melalui pautan sistem eribi.kpkt.gov.my.
Kata beliau, permohonan yang diterima oleh KPKT diproses dan dipertimbangkan
mengikut kriteria serta syarat kelayakan utama yang telah ditetapkan dalam Garis Panduan Inisiatif RIBI.
“Antara syarat kelayakan adalah organisasi hendaklah berdaftar di bawah entiti undang-undang seperti Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), Suruhanjaya Syarikat
Malaysia (SSM) dan sebagainya;
“Selain itu, organisasi hendaklah mempunyai akaun bank atas nama organisasi dan
mengemukakan maklumat serta salinan akaun bank yang disahkan oleh pihak bank.
“Pada masa sama, organisasi hendaklah memajukan salinan dokumen status tanah yang
telah disahkan geran tanah dan/atau dokumen status pemilikan tanah,
dan perjanjian sewa bangunan/tanah,” katanya. – MalaysiaGazette