ISKANDAR PUTERI – Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC perlu tumpu aksi final Piala Cabaran menentang Selangor selepas ini dan tidak terbawa-bawa dengan kekalahan 0-4 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Liga Super, malam tadi.
Pengendali PDRM FC, P Maniam berharap, kekalahan teruk itu tidak harus menjejaskan rentak anak buahnya terutama persiapan dalam perlawanan akan datang.
Maniam berkata, walaupun turun tanpa beberapa pemain utama seperti Kyaw Min Oo, Mohd Safiee Ahmad dan Bryan See, itu bukan alasan bagi Sang Saka Biru tumpas dengan jaringan yang besar di Stadium Sultan Ibrahim, di sini.
Katanya, barisan pemain PDRM FC bertahan dengan baik pada separuh masa pertama apabila tidak memberi banyak ruang kepada skuad Harimau Selatan untuk melakukan percubaan ke arah gol walaupun Jorge Obregon dan Corbin Ong berjaya menghasilkan jaringan.
“Pada babak kedua, kita tampak longgar sedikit setelah pasukan tuan rumah mudah mencipta peluang gol dan melancarkan serangan hingga memaksa penjaga gol, Robson Rendy Rining bekerja keras menyelamatkan gawang daripada jaringan lebih besar.
“Secara keseluruhan, pemain sudah melakukan yang terbaik namun ia tidak mencukupi. Tahap JDT terlalu tinggi, kita perlu untuk melupakan perlawanan ini dan memberikan tumpuan penuh pada aksi final Piala Cabaran menentang Selangor, itu yang saya rasa mustahak,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan itu di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam tadi.
The Cop akan berdepan dengan Selangor FC dalam perlawanan akhir Piala Cabaran di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 15 Februari diikuti aksi timbal balik di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, 22 Februari.
Biarpun tewas, pengendali PDRM FC itu turut memuji aksi pemain seperti Eizrul Ashraf Nor Effendy, Imran Samso, Alif Naquiddin Mohd. Shouffi dam Fakhrul Azim Zulphatah yang memberikan persembahan terbaik dan boleh digilap lagi untuk menjadi pemain yang berkualiti.
Menurutnya, The Cop mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat persiapan menjelang aksi pertama Piala Cabaran dan berharap pemain berada di tahap terbaik selain bersedia untuk memberi aksi 100 peratus di atas padang.
“Kami ada masa untuk membuat persediaan sebaik mungkin bagi aksi final pertama, selepas itu baru lah ada masalah sedikit kerana akan berdepan Negeri Sembilan pada Rabu sebelum aksi timbal balik pada Sabtu,” ujarnya.- MalaysiaGazette
Caption gambar: JDT menang 4-0 ke atas PDRM FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.. Foto ihsan Facebook Johor Southern Tigers