Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak bersetuju dan menolak sekeras-kerasnya cadangan tidak masuk akal yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mahu mengusir dan memindahkan secara paksa rakyat Palestin dari Gaza.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menegaskan perkara itu berkata, rakyat Palestin sendiri telah menyatakan bahawa mereka tidak mahu berganjak keluar dari tanahair mereka.

Katanya, perkara tersebut juga telah banyak kali dibincangkan di Parlimen bahawa Malaysia akan menyokong perjuangan Palestin dan ia bukanlah sehari dua.

“Kita menyokong perjuangan penduduk Palestin untuk mendapatkan hak sebuah negara mereka yang merdeka. Itu perjuangan kita menyokong.

“Kita bukan menyokong kerana apa-apa isu yang lain…jadi, adalah bertentangan dengan sokongan kita selama ini, sokongan dengan masyarakat antarabangsa selama ini, resolusi-resolusi Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selama ini yang menyatakan bahawa rakyat Palestin berhak untuk dapatkan negara mereka yang merdeka.

“Cara mana itu terpulanglah kalau itu solusi itu yang terbaik masa kini, kita lakukan,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang ingin tahu mengenai pendirian Malaysia terhadap pengumuman Trump pada Selasa apabila berikrar bahawa Amerika Syarikat (AS) akan mengambil alih Semenanjung Gaza yang musnah akibat peperangan selepas penduduk Palestin dipindahkan ke tempat lain.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, apa yang disarankan oleh AS berhubung perkara tersebut adalah diluar pemikiran yang waras, malah, turut bertentangan dengan segala konvensyen segala piagam  antarabangsa.

Tegas beliau, sebagai tuan rumah untuk Kepengerusian ASEAN pada tahun ini, Malaysia akan mengeluarkan kenyataan bersama ASEAN berhubung penegasan ketidak setujuan mengenai perkara berkenaan.

“ASEAN ini kita tak boleh keluar sewenang-wenangnya. ASEAN ini memerlukan blok secara konsensus. Kita memerlukan kebulatan suara jika kita nak buat keputusan, waima sekalipun hendak membuat kenyataan,” ujarnya.

Terdahulu hari ini, Wisma Putra mengluarkan kenyataan bahawa Malaysia dengan tegas menolak sebarang cadangan yang boleh membawa kepada pemindahan atau pengusiran paksa rakyat Palestin dari tanah air mereka.

Menurut kementerian itu, tindakan tidak berperikemanusiaan seperti ini merupakan pembersihan etnik yang jelas melanggar prinsip undang-undang antarabangsa serta pelbagai resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tambah Wisma Putra, masyarakat antarabangsa mesti bersatu dalam menyeru penyelesaian yang adil dan berkekalan yang dihormati serta diterima oleh rakyat Palestin. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here