GEORGE TOWN – Perselisihan faham dengan kekasih dikatakan menjadi punca lelaki warga Amerika Syarikat jatuh dari tingkat tujuh sebuah pusat beli belah di Persiaran Gurney di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, punca kejadian itu diperoleh berdasarkan hasil siasatan dan keterangan awal daripada keluarga terdekat mangsa berusia 25 tahun itu.
“Siasatan lanjut juga mendapati dia memasuki negeri ini sebagai pelancong bersama keluarganya pada 1 Februari lalu dan dijangka pula 12 Februari ini.
“Setakat ini, kita belum rakam keterangan mangsa memandangkan dia masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang meskipun dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
Lelaki AS cedera terjatuh dari tingkat tujuh pusat beli belah
MalaysiaGazette semalam melaporkan, pelancong warga Amerika Syarikat cedera di kepala selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah pusat beli belah di Persiaran Gurney di sini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung pada jam 1.55 tengah hari sebelum sepasukan polis digerakkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan.
“Mangsa berusia 25 tahun itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang dengan menaiki ambulans dalam keadaan separuh sedar pada jam 2.20 petang bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Mangsa dipercayai mengalami kecederaan di bahagian kepala akibat terjatuh dari tingkat tujuh bangunan itu,” katanya dalam kenyataan media.
Tambah Abdul Rozak, siasatan lanjut termasuk di lokasi kejadian mendapati tiada unsur jenayah dalam kes tersebut.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Terdahulu, tular rakaman video serta beberapa keping gambar mangsa terjatuh sebelum menghempap replika dekorasi Tahun Baharu Cina di tingkat bawah pusat beli belah tersebut. – MalaysiaGazette