Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah ketika hadir pada Pembentangan dan perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 18 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Seorang Ahli Parlimen pembangkang tidak dapat memberi ulasan mengenai hasrat kerajaan untuk memperkenalkan garis panduan baharu bagi majlis melibatkan umat Islam di rumah ibadat bukan Islam.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, ini kerana beliau belum mendapat maklumat penuh mengenai Garis Panduan Penglibatan Orang Islam Dalam Majlis Sambutan Perayaan Dan Upacara Kematian Orang Selain Islam Serta Kunjungan Dan Penganjuran Majlis Di Rumah Ibadat Selain Islam.

“Saya belum dapat maklumat tentang garis panduan ini,” katanya ringkas dan enggan mengulas lanjut di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar  berkata, garis panduan itu akan menggariskan tentang penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan orang selain Islam.

Tambah Mohd. Na’im, garis panduan itu akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali ke-126 yang dijadualkan pada 25 hingga 27 Februari ini.

Namun kenyatataan beliau menjadi polemik pelbagai pihak termasuk tindakan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) yang membantah cadangan kerajaan itu.

Ketua DAPSY Woo Kah Leong mencadangkan supaya kerajaan membatalkan pelaksanaanya dan mengekalkan dasar sedia ada atau status quo berhubung perkara berkenaan.

Ujarnya, panduan itu secara tidak langsung akan menyekat usaha pemahaman masyarakat yang akan mengakibatkan jurang lebih besar antara masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here