KUALA LUMPUR – Tindakan Ahli Parlimen Kerajaan iaitu RSN Rayer dan V Ganabatirau yang membangkitkan kemunculan pendakwah bebas, Dr Zakir Naik yang sebelum ini dilarang untuk berceramah di negara ini membuktikan kedua-dua mereka mempunyai banyak masa terluang.
Pendakwah bebas, Firdaus Wong mendakwa kedua-dua ahli Parlimen itu cuba menangguk di air yang keruh kerana membangkitkan isu penceramah bebas itu secara tiba-tiba.
“Apakah di kawasan Parlimen mereka sudah tidak ada masalah rakyat untuk mereka selesaikan.
“Adakah mereka banyak masa dan sepatutnya menjaga agama dan penganut agama masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Firdaus berkata, kebenaran untuk mana-mana penceramah menyampaikan khutbah adalah bidang kuasa jabatan agama Islam negeri dan Pejabat Mufti.
Firdaus turut menempelak Rayer dan Ganabatirau yang didakwa tidak faham akan bidang kuasa kedua-dua jabatan tersebut.
“Kita kena faham bila melibat melihat hal ehwal agama, ia bidang kuasa negeri bukan (kerajaan) pusat.
“Tidak ada sebarang isu sebenarnya, malah program Dr Zakir di Langkawi (Persidangan Antarabangsa Langkawi 2025) telah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa dan Jabatan Agama Islam Kedah juga telah memaklumkan isu program ISDG, program itu tak ada masalah, lancar kenapa tiba-tiba polemik ini nak ditimbulkan?, soal Firdaus lagi.
Semalam, Rayer di Dewan Rakyat menimbulkan persoalan kepada polis berhubung kemunculan pendakwah bebas, Dr Zakir Naik yang sebelum ini dilarang untuk berceramah di negara ini.
Rayer membangkit perkara itu susulan laporan sebuah portal berita Zakir ada membuat ceramah di satu kawasan Parlimen di Perlis, baru-baru ini.
Menurut Rayer, sekiranya larangan itu masih berkuat kuasa, adakah pihak polis akan mengambil tindakan menyiasat dan menuduh Zakir di mahkamah.
Ganabatirau pula menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi penjelasan mengenai status larangan berceramah yang dikenakan terhadap Zakir. – MalaysiaGazette