TOKYO – Lembaga pengarah Nissan memihak untuk meninggalkan rundingan penggabungan dengan Honda tetapi keputusan untuk membatalkannya masih belum diputuskan secara rasmi oleh eksekutif di dua pengeluar kereta Jepun itu, lapor AFP.

Perbincangan itu terbongkar selepas Honda mencadangkan untuk menjadikan pesaingnya sebagai anak syarikat dan bukannya seperti rancangan yang diumumkan pada Disember – menyatukan Nisaan di bawah syarikat induk yang baharu.

“Syarat terkini yang diletakkan di atas meja oleh Honda tidak boleh diterima Nissan… Ia hampir satu penghinaan,” kata sumber itu, mengesahkan maklumat yang dilaporkan dalam media Jepun.

“Ia perlu diformalkan, tetapi pada asasnya, ia sudah berakhir.”

Sumber itu berkata, Nissan “terbuka” untuk membentuk perkongsian strategik lain dalam sektor automobil atau teknologi.

Tetapi syarikat itu “perlu menjadi sangat kreatif, dan meneliti mengenai sinergi yang terlibat”, kata mereka.

Hasrat Nissan dan Honda untuk bergabung tenaga bagi mewujudkan pembuat kereta ketiga terbesar di dunia dilihat sebagai usaha untuk mengejar Tesla dan firma kenderaan elektrik China.

Pada Disember lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Honda menegaskan, cadangan itu bukan penyelamat untuk Nissan, yang mengumumkan ribuan pemberhentian kerja selepas melaporkan kejatuhan 93 peratus dalam keuntungan bersih separuh pertama.

Nissan berkata, ia akan “mewujudkan hala tuju dan membuat pengumuman sekitar pertengahan Februari” selepas laporan mengatakan syarikat itu berundur dalam perbincangan dengan Honda.

Laporan pada bulan Disember mengatakan gergasi elektronik Taiwan, Foxconn gagal mendekati Nissan untuk membeli pegangan majoriti.

Ia kemudian dilaporkan meminta Renault untuk menjual 35 peratus kepentingannya dalam Nissan, usaha yang ditangguhkan sebelum rundingan penggabungan diumumkan.

Sumber itu berkata, Lembaga Pengarah Nissan telah bersetuju untuk meninggalkan perbincangan pada hari Selasa.

Keputusan muktamad kini “di tangan pengarah eksekutif” kedua-dua pengeluar, kata mereka.

Nissan telah mengharungi sedekad dengan penuh bergelora, termasuk penahanan bekas ketua pegawai eksekutifnya, Carlos Ghosn pada 2018, yang kemudiannya melarikan diri dari Jepun secara bersembunyi di dalam kotak peralatan muzik.

Syarikat itu juga dibebani dengan hutang berbilion dolar yang dilaporkan akan matang dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Saya rasa Honda tidak mahu (penggabungan) lagi, jadi mereka mencadangkan sesuatu yang tidak boleh diterima,” kata sumber itu. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here