Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong berucap pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 21 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Seorang Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menggesa kerajaan menjalankan siasatan bebas terhadap keputusan penjualan saham Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) dalam gesaannya berkata, langkah itu bagi memastikan tiada konflik kepentingan atau salah guna kuasa dalam perjualan itu demi kebaikan pencarum.

“Saya rasa terpanggil untuk membawa isu ini, sebab itu minta audit dilaksanakan dalam siasatan bebas terhadap perkara itu,” katanya ketika membahaskan usul titah diraja Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Selasa lalu, konsortium Gateway Development Alliance (GDA) berjaya memperoleh saham mencukupi untuk mengambil alih MAHB dan menjadikannya syarikat persendirian.

GDA merangkumi KWSP, UEM Group Bhd yang disokong Khazanah Nasional Bhd, Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi, dan Global Infrastructure Partners.

Sebelum perjanjian itu dimuktamadkan, pengkritik mendakwa KWSP kerugian RM500 juta dalam dagangan saham untuk membeli semula saham MAHB pada harga lebih tinggi selepas menjualnya pada kadar lebih rendah.

Ka Siong berkata, kepentingan KWSP dalam MAHB merosot daripada 15 peratus ke bawah enam peratus pada 2023 sebelum membeli semula saham itu pada 2024 ketika GDA merancang pengambilalihannya.

“Dalam hal ini saya pertahankan rakyat kerana pencarum (KWSP) ini adalah rakyat jelata walaupun sepatutnya saya perlu sokong kerajaan,” ujar beliau.

Sementara itu, Ka Siong yang juga presiden MCA turut mencadangkan SOP khas bagi pelaburan strategik seperti MAHB untuk melindungi aset strategik negara dan dana pencarum. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here