Israel Katz. Photo AFP

BAITULMAQDIS – Menteri Pertahanan Israel telah meminta tenteranya untuk menyediakan rancangan bagi “membenarkan mana-mana penduduk Gaza yang ingin keluar (dari Gaza) dapat berbuat demikian”.

Arahan itu selaras dengan cadangan Presiden Donald Trump agar AS mengambil alih wilayah itu dan menempatkan semula 2.1 juta penduduk Palestin di sana.

Israel Katz berkata, rakyat Gaza sepatutnya mempunyai “kebebasan bergerak dan berhijrah” dan negara-negara yang mengkritik perang Israel dengan Hamas “wajib” menerima mereka.

Sementara itu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) menegaskan, penempatan semula itu adalah sementara bagi pembinaan semula Gaza, walaupun Trump berkata ia akan kekal.

Pemimpin Palestin dan negara Arab telah menolak rancangan itu kerana pemindahan paksa melanggar undang-undang antarabangsa.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, juga telah memberi amaran adalah “penting untuk mengelakkan sebarang bentuk penghapusan etnik” dan menekankan Gza akan menjadi sebahagian daripada negara Palestin masa depan.

Tentera Israel melancarkan kempen untuk memusnahkan Hamas sebagai tindak balas kepada serangan rentas sempadan yang tidak pernah berlaku sebelum ini pada 7 Oktober 2023, di mana kira-kira 1,200 orang terbunuh dan 251 telah dijadikan tebusan.

Lebih 47,550 orang terbunuh dan 111,600 cedera di Gaza sejak itu, menurut kementerian kesihatan Hamas di wilayah itu.

Kebanyakan penduduk Gaza juga telah berpindah beberapa kali dan hampir 70% bangunannya dianggarkan musnah atau rosak.

Sistem penjagaan kesihatan, air, sanitasi dan kebersihan telah musnah dan terdapat kekurangan makanan, bahan api, ubat-ubatan dan tempat tinggal. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here