Exco Armada Bersatu Malaysia (Armada), Mohamad Arib Abu Kasim.

KUALA LUMPUR – Armada Bersatu Malaysia (Armada) mengecam pemimpin Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) kerana cuba mencampuri urusan hal ehwal syariat umat Islam kerana ia adalah asas kepentingan agama Islam tersendiri.

Exconya, Mohamad Arib Abu Kasim berkata, ia selari dengan garis panduan yang menekankan agar umatnya tidak terlibat dalam sebarang amalan atau ritual agama lain yang bertentangan dengan ajaran Islam.

“Akidah umat Islam harus dipelihara dan dipertahankan dalam setiap situasi, tanpa kompromi terhadap unsur-unsur yang boleh merosakkan iman.

“Hormati Garis Panduan Agama Islam sebagai negara berbilang bangsa dan agama memerlukan pendekatan yang matang dan saling menghormati antara satu sama lain.

“Umat Islam perlulah menjaga akidah dan kaum agama lain tidak seharusnya mempertikaikan garis panduan tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Ketua DAPSY, Woo Kah Leong menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan mahu mewujudkan garis panduan penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan, upacara kematian, kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat bukan Islam.

Kah Leong berkata, sebaliknya pihaknya mencadangkan agar kerajaan membatalkan pelaksanaanya dan mengekalkan dasar sedia ada atau status quo berhubung perkara berkenaan.

Rabu lalu, media melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sedang memuktamadkan garis panduan khusus untuk orang Islam itu.

Mohd Naim berkata, garis panduan itu akan diperkenalkan supaya penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan mestilah tidak disertakan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam.

Dalam pada itu, Mohamad Arib juga berkata, garis panduan tersebut boleh mengekalkan keharmonian kaum dan agama sebagai negara yang berbilang agama dalam masyarakat di negara ini.

“Toleransi agama dan keharmonian kaum adalah kunci kepada kemakmuran dan kestabilan negara, dan umat Islam perlu memainkan peranan dalam memastikan perkara ini dijaga dengan baik,” katanya.

Katanya lagi, Armada menyeru agar umat Islam mempertahankan hak kepentingan syariat ini selaras dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 3 (1) iaitu Agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

“Keputusan berdasarkan kajian dan perbincangan ini mesti telah melalui proses libat urus dan pembentangan garis panduan yang mendalam dan kajian bersama ilmuan dan tokoh agama.

“Hal ini dalam memastikan bahawa setiap ketetapan yang diambil adalah seimbang dan mengutamakan kepentingan umat Islam dan keharmonian negara.

“Armada berharap agar garis panduan ini diterima dan dipatuhi oleh seluruh umat Islam di negara ini, serta dapat memperkukuhkan perpaduan dan toleransi antara agama di Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here