Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu melihat beras tempatan yang akan dijual kepada orang ramai semasa mengadakan lawatan kerja bagi Pelan Intervensi Pengedaran Beras Putih Tempatan (BPT) di Agrobazaar Kedai Rakyat, Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 21 SEPTEMBER 2023. (Gambar fail).

PUTRAJAYA – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu akan menjawab semua isu berkaitan padi dan beras di Parlimen pada 13 Februari ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, penjelasan itu akan dibuat menteri berkenaan melalui satu Kenyataan Menteri pada Persidangan Dewan Rakyat disusuli perbahasan oleh ahli-ahli Parlimen.

“Jemaah Menteri dimaklumkan menteri berkenaan akan menyampaikan Kenyataan Menteri di Parlimen pada 13 Februari mengenai isu beras khusus berkait harga lantai belian padi.

“Ia akan disampaikan di Parlimen dan sejurus selepas kenyataan Menteri akan ada perbahasan dan kita sama-sama tunggu kenyataan penuh oleh Menteri,” katanya yang juga Menteri Komunikasi pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Baru-baru ini di Dewan Rakyat, kerajaan memberitahu akan mengumumkan kenaikan harga lantai padi baharu oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi memastikan keseimbangan harga dalam pasaran beras tempatan.

Memaklumkan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenaikan itu juga hasil perbincangan yang diadakan bersama Kementerian Kewangan sebelum ini.

Jelasnya, kenaikan harga lantai itu tidak akan membebankan pengguna dan kerajaan akan menampung sebahagian kenaikan itu dengan peruntukan sebanyak RM150 juta dalam tempoh enam bulan.

Pada 2023, kerajaan menaikkan harga lantai belian padi kepada RM1,300 per metrik tan daripada RM1,200 per metrik tan sejak 2014.

Bagaimanapun, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) baru-baru ini mahu kerajaan mempertimbangkan cadangan pertubuhan itu untuk menaikkan harga lantai padi daripada RM1,300 per metrik tan kepada RM1,800 per metrik tan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here