Ketua Pemuda PAS yang baharu, Afnan Hamimi Taib Azamudden

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas menuntut kerajaan menjelaskan sebab garis panduan muslim ke majlis atau upacara bukan Islam di negara ini tidak dijadikan sebagai dasar.

Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam Negeri sepatutnya diberi ruang melaksanakan fatwa dan garis panduan berkenaan tanpa campur tangan politik.

“Pemuda Pas ingin mempersoalkan sikap kerajaan yang dilihat mengabaikan atau menolak garis panduan ini daripada dijadikan sebagai dasar rasmi negara. Tindakan ini menimbulkan persoalan besar mengenai komitmen kerajaan terhadap keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dan peranan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah Afnan, Majlis Fatwa Kebangsaan adalah badan autoriti yang berperanan dalam memberikan panduan kepada umat Islam dalam isu-isu berkaitan akidah dan amalan agama.

“Pengabaian atau tidak menghormati pandangan ini bukan sahaja menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam, tetapi juga berpotensi menggugat sensitiviti agama yang selama ini menjadi asas kepada keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia,” tambahnya.

Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada keperluan untuk menetapkan garis panduan untuk umat Islam ke majlis atau upacara bukan Islam di negara ini.

Katanya, selama ini umat Islam sudah sedia maklum dalam menjaga akidah selain mematuhi peraturan ketika hadir ke majlis atau upacara bukan Islam di rumah ibadat bukan Islam.

Mengulas lanjur, Afnan Hamimi menyarankan supaya dialog terbuka diadakan antara kerajaan, pihak berkuasa agama serta badan-badan bukan kerajaan untuk memastikan sensitiviti agama dihormati dan prinsip Islam terus dijunjung dalam pentadbiran negara.

Ujarnya, isu mengenai garis panduan ini perlu diberi perhatian serius demi memastikan kedaulatan Islam terpelihara dalam masa yang sama keharmonian negara terus kekal utuh.

“Pemuda Pas percaya Islam sebagai agama Persekutuan perlu dihormati sepenuhnya dalam setiap dasar dan tindakan kerajaan,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here