BUTTERWORTH – Pertuduhan ke atas dua lelaki warga Indonesia berkaitan kes rampasan lima pucuk pistol, selaras raifal serta ratusan peluru di kawasan perairan Pulau Pinang pada 27 Januari lalu ditangguhkan untuk lantikan jurubahasa.
Hakim Mahkamah Sesyen, Nor Azah Kasran menetapkan 12 Februari depan sebagai tarikh lantikan jurubahasa dan pertuduhan kes berkenaan.
Terdahulu, dua lelaki warga Indonesia yang mempunyai pertalian keluarga tiba di mahkamah jam 8.30 pagi dengan kawalan ketat pihak polis.
ARTIKEL BERKAITAN
Polis sahkan enam senjata api yang dirampas untuk dijual kepada geng kongsi gelap
4 ditahan seludup senjata api dari Thailand untuk pasaran gelap
Media pada 31 Januari lalu melaporkan Polis Pulau Pinang mengesahkan kegiatan penyeludupan dan penjualan senjata api yang membawa kepada penahanan empat lelaki bersama lima pucuk pistol, selaras senapang M4, serta 801 butir peluru dalam sebuah bot di perairan Perai disyaki mempunyai kaitan dengan geng kongsi gelap.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, ia berdasarkan soal siasatan terperinci yang dijalankan pihaknya susulan penahanan empat lelaki tersebut, termasuk dua warga Indonesia. – MalaysiaGazette