KUALA LUMPUR – Operasi Puspakom Wangsa Maju akan ditutup selewat-lewatnya pada bulan Jun tahun ini selepas mendapat arahan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT).
Penutupan ini adalah untuk memberi laluan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membina fasiliti baharu di tapak yang sama.
Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman berkata, pihakny akan membuat pengumuman asing mengenai perancangan untuk meminda
waktu perkhidmatan di beberapa pusat pemeriksaan lain di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan bagi menangani kesan penutupan tersebut.
“Secara purata, Puspakom Wangsa Maju memeriksa 800 unit kenderaan sehari. Jadi kita perlu membuat kajian semula waktu perkhidmatan beberapa cawangan untuk menampung pengurangan slot pemeriksaan ini,” jelas Mahmood.
Beliau menjelaskan, cawangan ganti yang tetap telah pun dikenal pasti dan dipersetujui oleh JPJ tahun lalu.
“Pelan asal penutupan ini adalah pada Disember 2026. Kami bersetuju untuk menutup lokasi ini kerana ia merupakan antara cawangan paling sibuk, namun terletak di kawasan berkepadatan tinggi.
“Cawangan ganti yang diluluskan JPJ adalah di Bukit Beruntung, Rawang, dan akan siap pada bulan Disember tahun hadapan.
“Walaupun penutupan lebih awal Puspakom Wangsa Maju menimbulkan masalah baharu, kami akur dan akan cuba menampung dengan menambah waktu operasi beberapa cawangan lain,” tambah beliau.
Cawangan Wangsa Maju memeriksa semua kategori kenderaan termasuk kenderaan berat dan tidak semua cawangan Puspakom mempunyai keupayaan memeriksa kenderaan berat.
Sehubungan itu, Puspakom menggesa pelanggan mereka untuk memeriksa kenderaan lebih awal iaitu didalam temp oh 14 hari sebelum tarikh tamat permit kenderaan bagi memudahkan mereka sekiranya mereka gagal ujian asal.
“Jika gagal ujian asal pada hari terakhir permit, mereka akan terburu-buru untuk memperbaiki punca kegagalan dan datang untuk pemeriksaan
semula. Jika pemeriksaan dibuat awal, seperti yang dibenarkan pihak berkuasa, maka pemilik akan mempunyai masa yang lebih untuk membaiki kenderaan mereka dan hadir untuk pemeriksaan semula,” jelas Mahmood. – MalaysiaGazette