SAM gesa lakukan siasatan berhubung insiden letupan kuat yang berlaku di Kampung Padang, Mukim Sungai Kecil Hilir Bandar Baharu, Kedah. Gambar ihsan - SAM

GEORGE TOWN –  Sahabat Alam Malaysia (SAM) mendesak Kerajaan Negeri Kedah dan agensi berkaitan menyiasat insiden letupan kuat yang berlaku di Kampung Padang, Mukim Sungai Kecil Hilir, Daerah Bandar Baharu pada Rabu lalu.

Presiden SAM, Meenakshi Raman berkata, letupan berlaku sekitar jam 2.15 petang itu dipercayai berpunca daripada aktiviti pemecahan bongkah batu oleh pengusaha kuari batu di kawasan tersebut.

Jelasnya, letupan itu mengejutkan penduduk sekitar dan menyebabkan gegaran kuat yang mengganggu ketenteraman penduduk setempat.

“Terdapat laporan yang mengatakan letupan itu turut didengar dari jarak satu hingga dua kilometer.

“Malah, ada penduduk yang tinggal berhampiran kuari melaporkan rumah mereka mengalami kerosakan seperti lampu siling jatuh dan dinding retak.

Meenakshi.

“Isu ini bukan kali pertama timbul, di mana pengusaha kuari tersebut pernah dikenakan tindakan selepas pelbagai laporan dan aduan oleh penduduk tempatan termasuk penggantungan aktiviti kuari selama dua hingga tiga bulan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut Meenakshi turut mempersoalkan jenis dan jumlah bahan letupan yang digunakan oleh pengusaha kuari sehingga menyebabkan impak kepada penduduk berhampiran.

“Kerja letupan di kawasan kuari harus dilakukan oleh pembedil yang bertauliah dan mengikut prosedur standard yang ditetapkan, khususnya di kawasan yang berhampiran dengan struktur bangunan dan kediaman.

“Selain risiko batu berterbangan dan gegaran tanah, debu yang tersebar juga merupakan isu yang perlu ditangani dengan serius.

“Jurutera perunding kuari juga diingatkan untuk memastikan aktiviti yang dijalankan tidak memberi impak negatif kepada orang awam dan untuk mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Mineral dan Geosains sebelum memulakan kerja-kerja letupan,” katanya.

Sehubungan itu, SAM menuntut supaya tindakan tegas diambil terhadap pengusaha kuari termasuk menggantung permit pengeluaran bahan batuan mereka demi menjaga kesejahteraan penduduk setempat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here