KUALA LUMPUR – Bakal haji yang memperoleh Visa Furada atau Visa Mujamalah disarankan menggunakan perkhidmatan Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang telah dilesenkan oleh Tabung Haji.
Ketua Pegawai Eksekutif LTH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, sebanyak 37 buah syarikat PJH memiliki Lesen Pengendali Pelancongan yang dikeluarkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).
Kesemua syarikat berkenaan mempunyai kewangan yang kukuh, kepakaran serta pengalaman yang mencukupi untuk menjaga kebajikan jemaah haji.
“TH sentiasa memantau semua PJH bermula daripada peringkat perancangan sehingga pelaksanaan untuk memastikan semua jemaah haji mendapat perkhidmatan terbaik dan mengelakkan sebarang penipuan,” katanya menerusi kenyataan.
Katanya lagi, pemberian visa Furada dan Mujamalah yang dikeluarkan kepada kumpulan tertentu adalah hak mutlak Kerajaan Arab Saudi dan ianya di luar kuota haji rasmi negara.
Menurut beliau, kerajaan Arab Saudi giat memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kecekapan prosedur musim haji bagi kelancaran proses ibadat dan keselamatan para jemaah haji yang datang dari seluruh dunia.
“Kerajaan Arab Saudi juga akan melaksanakan kawalan keselamatan yang lebih ketat semasa kemuncak haji dengan sistem pengesahan jemaah haji yang lebih efisien bagi memeriksa setiap jemaah yang masuk ke kawasan Masyair.
“Sebarang penggunaan visa tidak sah, akan dikenakan tindakan undang-undang dan denda yang berat,” tambah beliau.
Polis DiRaja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siatan Jenayah Komersial (JSJK) semalam dilaporkan berkata, terdapat 44 kes penipuan haji dan umrah yang telah disiasat sepanjang 2024 melibatkan nilai kerugian RM890,810.53.
Tegasnya Syed Hamadah, mana-ana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa lesen daripada TH merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).- MalaysiaGazette