Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tiada keperluan untuk melakukan perubahan dalam kepimpinan tertinggi pada waktu ini termasuk mempertandingkan jawatan Timbalan Presiden Pas.

Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, ia kerana barisan kepimpinan tertinggi sedia ada berjaya membawa parti ke tahap yang lebih kukuh, dihormati dan relevan dalam politik tanah air.

“Dalam Pas, pemilihan kepimpinan bukan sekadar soal pertandingan jawatan tetapi lebih kepada kesinambungan dan kestabilan kepimpinan demi memperkukuhkan perjuangan parti. Kepimpinan sedia ada termasuk presiden, timbalan presiden dan naib-naib presiden telah membuktikan keupayaan mereka dalam memimpin parti dengan cemerlang.

“Di bawah kepimpinan ini, Pas terus berkembang, memperkukuh kedudukan dalam landskap politik nasional serta memainkan peranan penting dalam kerajaan negeri dan persekutuan,” katanya menerusi kenyataan.

Mohamed Sukri Omar
Mohamed Sukri Omar

Katanya, parti itu menumpukan usaha untuk kekal stabil dan mampu memainkan peranan Utama dalam membawa kesejahteraan kepada rakyat dan pembangunan negara.

“Oleh itu, kepimpinan yang telah terbukti cemerlang ini sewajarnya dikekalkan untuk memastikan kesinambungan perjuangan yang lebih tersusun dan mantap,” ujarnya.

Mohamed Sukri berkata demikian mengulas pandangan penganalisis berhubung keperluan pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden parti itu sebagai langkah persediaan calon PM bagi PN dalam pilihan raya akan datang.

Jelasnya, Pas berpendirian kestabilan kepimpinan merupakan aset penting bagi sesebuah organisasi politik terutamanya demi menghadapi cabaran besar menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Tambah beliau, sebarang keputusan mengenai calon dalam Perdana Menteri akan ditentukan menerusi perbincangan dalam kalangan kepimpinan parti serta dipandu oleh Majlis Syura Ulamak Pas.

“Keputusan ini dibuat secara matang, berpandukan kepentingan ummah dan hala tuju perjuangan parti, bukan atas desakan luar atau spekulasi semata-mata,” tambah beliau.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here