KUALA LUMPUR – Unit elit anti-rasuah Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) yang mengendalikan skandal 1MDB telah dibubarkan.

Seorang wartawan, Bradley Hope mendakwa penutupan Kleptocracy Asset Recovery Initiative dibuat secara senyap-senyap malam tadi.

“Trump baru sahaja membubarkan unit elit antirasuah DOJ.

“Inisiatif Kleptokrasi – terkenal kerana merampas kapal layar oligarki Rusia dan mendakwa penipuan 1MDB bernilai AS$4.5 bilion telah dibubarkan secara senyap pada 5 Februari,” kata Hope di X semalam.

Hope merupakan pengarang bersama Billion Dollar Whale dengan Tom Wright yang terlibat menyiasat skandal 1MDB sebagai wartawan Wall Street Journal.

Unit itu memperoleh rampasan terbesar pada 2016 – lebih AS$1 bilion aset yang diselewengkan daripada 1MDB.

Rampasan tersebut adalah yang terbesar bagi kes seumpama itu di AS.

Hope yang memetik sumber berkata, unit itu dibubarkan bagi mendapatkan kawalan ke atas dana pelucuthakan berjumlah berbilion dolar.

Kekuatan DOJ terletak pada keupayaannya untuk mendakwa penjenayah menggunakan dolar atau sistem kewangan AS.

Dalam catatan blog berasingan, Hope, merujuk sumber orang dalam melaporkan, Peguam Negara Donald Trump yang baru dilantik, Pam Bondi, mengumumkan melalui e-mel penutupan serta-merta Inisiatif Kleptokrasi dan pasukan petugas yang berkaitan dengannya.

Memo itu menyatakan Seksyen Pengubahan Wang Haram dan Pemulihan Aset Bahagian Jenayah kini akan menumpukan pada sasaran aktiviti kartel dan organisasi jenayah transnasional (TCO).

Selain itu, Pasukan Petugas KleptoCapture dan Pasukan Kleptokrasi juga akan dibubarkan.

Peguam daripada inisiatif ini akan kembali kepada peranan mereka sebelum ini, dan sumber-sumber tenaga akan diarahkan menghapuskan sepenuhnya kartel dan TCO. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here