Ibu bapa kepada kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matin, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf keluar dari perkarangan Mahkamah selepas selesai perbicaraan atas tuduhan menganiaya anak mereka di Kompleks Mahkamah, Petaling Jaya. Foto AIZAT ZAINAL, 07 FEBUARI 2025

PETALING JAYA – Ismanira Abdul Manaf kelihatan trauma sehingga tidak `lalu’ makan dan minum ketika diziarahi pihak sekolah Zayn Rayyan Abdul Matin, sehari selepas kehilangan kanak-kanak autisme itu.

Guru kelas Zayn Rayyan, Siti Aminah Nor Mad Ali, 40, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, Ismanira juga seolah-olah menjerit sambil menyatakan `Zayn, ini salah mummy’, sambil ditenangkan oleh nenek kanak-kanak itu.

“Saya dan guru besar rasa terkejut namun menganggap perkara itu berlaku sebab Puan Isma terlalu sedih,” ujar guru pra sekolah kelas pendidikan khas itu.

Siti Aminah berkata, beliau dimaklumkan berhubung berita kehilangan anak muridnya kira-kira pukul 4 petang, 5 Disember 2023 oleh ibu bapa lain dalam grup komunikasi kelas berkenaan.

Ujar saksi pendakwaan kesembilan (SP9), beliau pada awalnya menganggap kehilangan Zayn tidak serius dan kanak-kanak itu akan pulang semula ke rumah.

“Namun sehingga malam, grup sekolah dimaklumkan bahawa Zayn belum dijumpai menyebabkan saya bersama-sama guru sekolah dan dua guru penolong kanan ke rumah Puan Isma untuk melawat pada esoknya.

“Saya juga ada terbaca dalam Facebook mengenai kehilangannya yang menyatakan nama, umur, masalah autisme, Zayn adalah `non verbal’ serta hilang ketika pulang ke rumah dengan berpakaian sekolah,” ujarnya.

Kali terakhir gurunya melihat Zayn ialah pada pukul 12.05 tengah hari, 5 Disember ketika anak muridnya dijemput Ismanira pulang dengan menunggang motosikal.

Menurut saksi, beliau turut menegur Zayn kerana kali pertama melihat dia menaiki motosikal sendiri tanpa bantuan sesiapa selain seorang pembantu menegur topi keledar kanak-kanak itu menarik.

Siti Aminah menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz pada sesi pemeriksaan utama pada perbicaraan terhadap Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira yang didakwa mengabaikan anak mereka.

Menurut pertuduhan, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun (ketika kejadian), didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung petang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here