KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menubuhkan dua jawatankuasa utama iaitu Jawatankuasa Kesejahteraan Bandar dan Jawatankuasa Tindakan Pengindahan Bandar sebagai persiapan untuk menjadi lokasi utama persidangan ASEAN akan datang.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Shariff berkata, penubuhan itu dibuat kerana tanggungjawab yang diberi untuk menganggotai Jawatankuasa Kecil Kesejahteraan Awam di peringkat nasional.
“Kedua-dua jawatankuasa itu berperanan untuk memastikan Kuala Lumpur benar-benar bersedia dari segi kebersihan, keindahan, kesejahteraan bandar, lalu lintas serta penyelenggaraan infrastruktur.
“Dalam pada itu, saya juga ingin menyeru orang ramai yang mempunyai idea untuk meningkatkan keindahan bandar raya ini agar tampil memberi cadangan,” katanya.
Beliau berucap demikian dalam Majlis Apresiasi Media anjuran DBKL di Menara Berkembar Petronas, di sini, hari ini.
Selain sidang kemuncak ASEAN ke-46, Kuala Lumpur akan turut mejadi tuan rumah iaitu Meeting of Governors and Mayors of ASEAN Capitals (MGMAC) dan ASEAN Sustainable Urban Forum.
“Kedua-dua acara ini dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada 10 hingga 15 Oktober nanti.
“Kehadiran pemimpin bandar utama di ASEAN dalam acara ini memberikan peluang kepada Kuala Lumpur untuk mempamerkan daya saingnya sebagai sebuah bandar raya yang mampan dan inovatif,” tambahnya.
Bagi memastikan Kuala Lumpur terus maju dan berdaya saing, pihaknya juga akan terus memberikan tumpuan kepada lima bidang utama iaitu pembangunan terancang, keterangkuman masyarakat, bandaraya hijau dan mamoan, komunikasi yang berkesan dan reformasi tadbir urus. – MalaysiaGazette