KUALA LUMPUR- Umat Islam perlulah menjaga akidah dan penganut agama lain tidak seharusnya mempertikaikan Garis Panduan Umat Islam bagi Menghadiri Majlis atau Upacara Agama Bukan Islam, kata Armada Bersatu Malaysia.
Tegas Exco Armada Bersatu Malaysia, Mohamad Arib Abu Kasim, garis panduan tersebut perlu dihormati dan semua pihak seharusnya menggunakan pendekatan yang matang dan saling menghormati antara satu sama lain.
”Armada menyelar kenyataan pimpinan DAPSY dan meminta supaya mereka tidak mencampuri urusan hal-ehwal syariat umat Islam kerana ia adalah asas kepentingan agama sendiri.
”Pengukuhan akidah umat Islam selari dengan garis panduan ini menekankan agar umat Islam tidak terlibat dalam sebarang amalan atau ritual agama lain yang bertentangan dengan ajaran Islam.
”Akidah umat Islam harus dipelihara dan dipertahankan dalam setiap situasi tanpa kompromi terhadap unsur-unsur yang boleh merosakkkan iman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Mohamad Arib, untuk kefahaman berlandaskan syariat, Armada menyeru umat Islam untuk terus mempertahankan hak kepentingan syariat selaras Perlembagaan Persekutuan Perkara 3 (1) iaitu agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.
Sehubungan itu, Armada katanya berharap agar garis panduan tersebut diterima dan dipatuhi seluruh umat Islam di negara ini serta dapat memperkukuhkan perpaduan dan toleransi agama di Malaysia.
”Marilah kita bersama-sama menjaga akidah, keharmonian dan kesejahteraan negara tercinta tanpa menjadikan polemik politik kepartian,” katanya lagi.- MalaysiaGazette