GERIK – Seorang kelindan maut manakala pemandu cedera apabila lori kontena yang mereka naiki terbabas lalu terbalik ke dalam longkang berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Jalan Raya Timur – Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Sungai Lebey di sini hari ini.
Mangsa maut dikenali sebagai Mohd Desa Mat Hussein, 30-an.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu sekitar pukul 10.40 pagi.
Menurutnya, sejurus menerima panggilan, seramai 10 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik digerakkan ke lokasi kejadian.
“Ketika tiba di lokasi kita mendapati sebuah lori kontena yang membawa barang-barang dari pasar raya besar telah terbabas dan terbalik ke dalam longkang.
“Terdapat dua orang mangsa lelaki berusia 30-an iaitu pemandu lori yang tersepit di bahagian kaki dan mengalami kecederaan.
“Manakala kelindan telah tercampak keluar dari lori dan mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, anggota kemudiannya melaksanakan kerja-kerja penyelamatan menggunakan peralatan menyelamat sehingga mangsa tersepit berjaya dikeluarkan.
“Mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak KKM, manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Katanya, operasi terkawal pada jam 11.58 pagi dan taman sepenuhnya sekitar pukul 12.50 tengah hari. – MalaysiaGazette