Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek. Foto MOHD ADZLAN, 23 SEPTEMBER 2024.

NIBONG TEBAL- Kementerian Pendidikan (KPM) tidak pernah membenarkan mana-mana syarikat swasta atau sindiket tawaran pinjaman oleh syarikat perunding kewangan masuk ke sekolah-sekolah bagi menawarkannya kepada guru.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pihaknya ketika ini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu, namun tidak menolak kemungkinan mereka mendapat kebenaran daripada individu dan bukan kebenaran rasmi daripada KPM.

“Jadi sebab itu, perkara ini kita sedang siasat dengan teliti bagaimana mereka boleh masuk sampai ke premis-premis KPM, namun kita percaya barangkali mereka masuk ini dengan kebenaran individu bukan kebenaran yang rasmi jadi sebab itu saya sebut pentadbir sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), mestilah pastikan mendapat kebenaran (KPM) terlebih dahulu.

“Kita kena pastikan sama ada mereka ini, orang yang datang dengan hasrat yang betul ataupun punya agenda lain dan ini mesti diambil tanggungjawab penuh di peringkat sekolah khususnya keselamatan dan apa sahaja yang ditawarkan, kena dilihat dengan bersungguh-sungguh kerana ia melibatkan keselamatan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Ceria Ke Sekolah Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Pusat Khidmat Parlimen Nibong Tebal di sini hari ini.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung laporan yang mendakwa syarikat perunding kewangan menggunakan guru-guru untuk dijadikan ejen dan sekolah sebagai tempat mengadakan taklimat perkongsian perunding kewangan.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki dilaporkan mengesahkan sedang menjalankan siasatan berkaitan sindiket tawar pinjaman melibatkan syarikat perunding kewangan yang tumpas dalam Op Sky.

Fadhlina berkata KPM juga menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu dan berharap ia dapat disiasat segera supaya nasib penjawat awam khususnya guru-guru dapat dibela.

“Di peringkat KPM memang kita ambil perhatian penuh dan sentiasa mengingatkan semua guru dan pegawai kita untuk mengambil langkah berjaga-jaga supaya dapat menangani daripada terjebak daripada aktiviti tersebut,” katanya.

Semalam media melaporkan, bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dilaporkan berkata KPM atau pun mana-mana pihak diminta memberikan penjelasan lanjut berhubung sindiket tawaran pinjaman oleh syarikat perunding kewangan kepada penjawat awam terutamanya guru.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here