KUALA LUMPUR – Pembangunan projek Bandar Wakaf Malaysia di Gaza bukan hanya bantuan kemanusiaan tetapi mencerminkan solidariti rakyat Malaysia terhadap penindasan yang dihadapi penduduk Gaza.
Timbalan Pengerusi Dua Majlis Wakaf, Endowmen dan Zakat Universiti Awam (MAWEZ), Prof. Madya Dr. Mohd Ashrof Zaki Yaakob berkata, projek ini merangkumi pembinaan infrastruktur penting seperti sekolah, hospital, dan masjid bagi memberikan sinar baharu kepada penduduk Gaza yang terkesan akibat konflik berterusan.
“Pembangunan ini dapat dilaksanakan dengan sumbangan negara-negara Islam dan dijangka dapat menjadi penyelesaian dalam kebangkitan semula Gaza.
“Melalui wakaf, harta ini boleh dimanfaatkan secara kekal untuk kepentingan ummah, sejajar dengan prinsip Islam yang menggalakkan pemeliharaan harta demi manfaat masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, Malaysia juga boleh menggunakan kepakaran universiti awam dalam pelaksanaan wakaf perkhidmatan bagi menyumbang kepakaran dalam pelbagai bidang.
“Sebagai contoh, Universiti Teknologi MARA (UiTM) boleh membantu dalam aspek sains dan teknologi, Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bidang pertanian, manakala Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam pembangunan semula sektor pendidikan.
“Di peringkat antarabangsa pula, negara boleh memainkan perana dalam menyelaras sumbangan wakaf ini bersama Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). Kerjasama bersama negara-negara Islam yang memiliki kekayaan dan kepakaran teknologi dapat mempercepatkan lagi pembangunan Gaza secara sistematik,” tambahnya.
Dengan ini, Malaysia bukan sahaja menunjukkan solidariti tetapi memainkan peranan dalam membemtuk model pembangunan Islam yang boleh dicontohi negara lain.
Rakyat Malaysia serta komuniti Islam global seharusnya memberi sokongan penuh terhadap usaha ini bagi memastikan kejayaannya dan memberi impak jangka panjang kepada kesejahteraan masyarakat di Gaza. – MalaysiaGazette