KUALA LUMPUR – Perasaan pempengaruh media sosial, Abd Ridzuan Abdul Mutalib atau Ridz Okumura terguris dengan laporan media yang mendakwa polis merampas ubat-ubatan dari kediamannya untuk siasatan berhubung kematian isterinya, Akiko Okumura.
Dalam satu perkongsian di TikTok, pempengaruh itu berkata, ubat-ubat berkenaan tidak dirampas sebaliknya dia sendiri menyerahkannya kepada polis dan beliau tidak mahu ada pihak salah anggap dengan laporan mendakwa ubat itu dirampas.
“Bila kenyataan kata dirampas, kenyataan itu sangat menguris hati abang. Dia tak dirampas, abang yang bagi.
“Ikhlas abang cakap dari hati, kenyataan itu menguris hati, janganlah cakap macam itu. Kenyataan dia dirampas. Bukan dirampas. Kenapa cakap dirampas. Abang tak nak orang ingat benda lain.
“Abang sudah beri kerjasama sepenuhnya dengan polis dan dalam keadaan penat, jaga anak yang bersekolah. Keluar pula kenyataan macam ini menggigil badan abang. Abang bukan minta simpati tapi tolonglah hentikan perkara ini,” katanya sebak dan menitiskan air mata.
Menerangkan lebih lanjut, beliau mengakui arwah isterinya Akiko mengambil ubat-ubatan yang dibeli dari Jepun bagi merawat penyakit gerd.
Ridz Okumura berkata, dia telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis dalam siasatan kematian isterinya yang dilaporkan terjatuh dari tingkat empat sebuah apartmen di Petaling Jaya, Selangor.
“Bukan dirampas abang yang bagi, mereka (polis) kata boleh saya ambil semua? Abang kata ambilah semua. Abang nak betulkan keadaan. Ini ubat dari Jepun, Akiko lebih percaya ubatan dari negaranya. Akiko yang makan ubat. Dia ada gerd, ada macam-macam.
“Dalam rumah mana tiada ubat, semua rumah ada. Ya, ini ubat Jepun. Abang benarkan (Akiko makan). Kenapa perlu cakap dirampas?” soalnya sambil mengesat air mata.
Semalam media melaporkan, polis merampas enam jenis ubat-ubatan Ridz Okumura untuk siasatan berhubung kematian isterinya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kes ini masih diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR), namun siasatan dijalankan dengan melihat beberapa sudut.
Katanya, sudut siasatan termasuk melihat sama ada mangsa mempunyai masalah kemurungan ataupun masalah kesihatan yang memerlukan ubat-ubatan.
“Ada beberapa ubat dalam bentuk pil yang kita rampas daripada rumah itu (tempat kejadian) yang dipercayai daripada Jepun (negara asal Akiko).
“Kita akan dapatkan bantuan daripada pihak kedutaan (Jepun) untuk kenal pasti apa ubat-ubat yang dia (Akiko) ambil, yang mungkin ada kaitan dengan insiden ini,” kata Hussein.
Mengulas lanjut, Hussein berkata, polis setakat ini sudah merakam keterangan enam individu selain suami mangsa serta anaknya.-MalaysiaGazette















