KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan pendirian tegas baginda untuk tidak bersetuju dengan cadangan mewujudkan garis panduan kepada umat Islam yang menghadiri majlis perayaan orang bukan Islam khususnya di negeri itu.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Istana Alam Shah, sebagai Ketua Agama Islam di Selangor, baginda berpandangan cadangan garis panduan itu dibuat pada waktu yang tidak bersesuaian, pada ketika sekalian rakyat sedang giat mengeratkan amalan muhibah dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama demi mengukuhkan perpaduan nasional.
Titah baginda, polemik yang tercetus ini telah sedikit sebanyak menimbulkan keresahan kepada masyarakat dan ini pastinya akan menjejaskan keharmonian yang telah sedia terjalin.
Baginda bertitah, Islam menerusi al-Quran dan sunnah adalah garis panduan terbaik sejak zaman berzaman dan diperkuat dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah umat Islam di Malaysia.
“Justeru, isu terpesongnya akidah umat Islam susulan amalan berkenaan tidak timbul kerana baginda percaya umat Islam kini tahu tentang batas-batas akidah serta tidak mudah terpengaruh dan bijak menilai baik buruk sesuatu tindakan,” demikian menurut kenyataan itu yang turut disiarkan menerusi laman sosial Facebook Selangor Royal Office hari ini.
Dalam pada itu, Sultan Selangor mengingatkan sebagai sebuah negara majmuk dengan rakyatnya menganuti pelbagai agama dan kepercayaan, toleransi dalam beragama seharusnya tidak dikompromi.
Dalam masa sama, titah baginda, setiap rakyat perlu menghormati dan memperakui bahawa Islam adalah agama persekutuan sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.
“Bagaimanapun, baginda menasihatkan umat Islam khususnya di negeri Selangor agar sentiasa berusaha untuk terus memperkukuh akidah dan iman masing-masing dengan mendalami ilmu agama dan melakukan segala suruhan Allah Subhanahu Wata’ala serta meninggalkan segala larangan-Nya,” tambah kenyataan itu.
Titah baginda, apabila setiap umat Islam mencapai tahap akidah yang teguh dan kesempurnaan iman hakiki, serta memantapkan keyakinan kepada Allah SWT, maka kita semua tidak akan mudah terpesong atau terpengaruh dengan anasir-anasir luar. – MalaysiaGazette