Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berucap pada Majlis Perasmian Sambutan 60 Tahun Silat Cekak di Auditorium P Ramlee, Angkasapuri, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 09 FEBRUARI 2025

KUALA LUMPUR – Orang ramai diingatkan agar tidak mudah mempercayai sumber berita yang tidak pasti kesahihannya, terutama yang tular di media sosial.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menegaskan, sebarang maklumat perlu dirujuk melalui sumber sahih seperti media arus perdana dan pihak berkuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Jangan bertindak seolah-olah kita berada di lokasi kejadian dan menjadi penyiasat dengan membuat pelbagai andaian serta teori. 

“Kita perlu berpada-pada, lebih-lebih lagi apabila ada pihak yang mencipta kandungan seolah-olah maklumat itu benar,”  katanya ketika sidang media selepas Majlis Perasmian dan Pelancaran Perayaan 60 Tahun Silat Cekak di Angkasapuri Kota Media.

Dalam pada itu, Fahmi turut memberitahu, lebih 53,000 pertanyaan dalam tempoh kurang dua minggu, termasuk sekitar 5,330 soalan sehari yang diterima melalui chatbot Artificial Intelligence Fact-check Assistant (AIFA) sejak ia dilancarkan pada 28 Januari lalu.  

Katanya, angka itu membuktikan kesedaran masyarakat semakin meningkat dalam mendapatkan pengesahan berita sebelum menyebarkannya.

“Kita harap dalam lingkungan media sosial, kita boleh bekerjasama membasmi fahaman tahyul, berita-berita palsu yang tersebar dan mendidik pengguna melalui chatbot AIFA. Semak sebelum sebar, tak pasti jangan kongsi.

“Chatbot AIFA membina model bahasa yang luas. Untuk permulaan ia mengambil berita dari sumber rasmi termasuk dari Bernama dan Berita RTM.

“Jadi, memang kita mulakan dengan maklumat yang dilaporkan secara rasmi jadi mereka memanfaatkan pengesahan berita mereka seperti sebenarnya.my, mychat.my dan juga Biar Betul yang disiarkan setiap malam pukul 7.59 di RTM TV1,” ujarnya.

Selain itu, beliau berharap masyarakat memanfaatkan chatbot tersebut sebagai kemudahan untuk menyemak maklumat dengan pantas dan berkesan.

Chatbot AIFA, yang dibangunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), direka mesra pengguna dan boleh diakses 24 jam melalui portal sebenarnya.my serta platform WhatsApp.

Bagi memastikan akses yang lebih meluas, chatbot ini tersedia dalam empat bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Cina, dan Tamil. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here